Pemberontak Tewas dengan iPhone

Share Button

Apabila berlaku cubaan rampasan kuasa di Turki pada Sabtu lalu (Jumaat malam waktu Turki), Presidennya, Tayyip Erdogan berjaya diselamatkan bukan dengan senjata tapi teknologi.

Kekuatan FaceTime dan laman sosial menangkis puluhan kereta kebal yang mengepung bandar raya utama di Turki. Bagaimana ia berlaku.

Sebaik saja segelintir pemberontak yang terdiri daripada anggota tentera cuba mengawal jambatan dan infrastruktu di bandar utama yang ditambah menjadi ngeri apabila helikopter tentera memulakan serangan udara dan mengebom lokasi utama di ibu negara, Ankara.

Lebih memburukkan keadaan, serangan udara juga dilaporkan di beberapa lokasi termasuk bangunan presiden, ibu pejabat Parti AK dan bangunan awam yang kesemuanya berlaku sekitar pukul 10.29 malam pada hari Jumaat.

Sudah tentu keadaan tersebut menyebabkan suasana kucar-kacir dengan rakyat Turki hilang arah tujuan. Internet juga dimatikan kira-kira sejam dan tiada khabar berita melainkan TV dan radio analog semata-mata.

Turki

Apabila berlaku demikian, sifat biasa bagi penduduk yang mempunyai penembusan internet tinggi sehingga 80 peratus akan memeriksa apa yang berlaku melalui telefon mereka. Namun segalanya kosong kerana akses tersebut sudahpun dimatikan.

Namun pada jam 12.26 tengah malam Erdogan muncul di siaran TV tempatan dengan melakukan panggilan video FaceTime di iPhone bersama pemberita, mengajak rakyat bersatu dan mengadakan protes jalanan bagi menentang cubaan rampasan kuasa didalangi kumpulan kecil dalam tentera.

Ia titik tolak kepada tindak balas rakyat yang mula keluar rumah. Mereka membawa keluar telefon masing-masing, merakam suasana sambil mula ‘berperang’ hanya dengan bendera Turki dan gajet di tangan.

Sesuatu yang pihak pemberontak gagal laksanakan adalah menutup penuh sambungan internet kerana pihak media masih mempunyai akses kepada sambungan tersebut dan masih berjaya berhubung dengan Erdogan.

Pemberontak mungkin mempunyai buku manual tentang cara menggulingkan kerajaan, tetapi buku manual tersebut mungkin sudah lapuk dan tidak relevan pada abad ke-21.

Mereka gagal memahami fungsi media sosial dalam pembangunan politik sesebuah negara dan gagal dalam memanfaatkannya dengan sempurna atau adakah gagal menggerakkan pemberontakkan terlebih dulu dalam media sosial.

Pemberontak terus dengan senjata, jet pejuang dengan kereta kebal. Ia secara fizikal faktor yang disifatkan mereka paling mudah menakutkan rakyat Turki.

Mereka tidak faham, rakyat Turki bukanlah takut dengan corong senapang yang diacukan kerana kata-kata semangat di Twitter, video YouTube atau Facebook lebih menyentuh perasaan.

Apa komen anda?