BlackBerry DTEK50, telefon kedua Android paling selamat di dunia

Share Button

BlackBerry hari ini memperkenalkan telefon pintar berasaskan Android kedua mereka. Ia diberi nama DTEK50. Bagi peminat BlackBerry, nama ini pasti tidak asing lagi. Ini kerana DTEK merupakan perisian keselamatan yang direka BlackBerry, dan dipasang ke dalam peranti Android pertama mereka, Priv.

Dengan pelancaran DTEK50 ini, BlackBerry sekali lagi menyatakan ia adalah telefon pintar Android paling selamat di dunia. Seperti di Priv, DTEK50 dilengkapi pelbagai ciri-ciri keselamatan BlackBerry yang diyakini ramai.

Blackberry DTEK50 dilancar - DTEK dalam tanganPerisian DTEK di DTEK50

Paling utama, adalah perisian DTEK di dalam DTEK50. Ia memantau semua perisian dan aplikasi di dalam telefon, memastikan privasi pengguna sentiasa terjaga. BlackBerry juga menjamin akan memberikan kemaskini keselamatan terpantas kepada pengguna DTEK50.

Selain fungsi keselamatan, BlackBerry turut mengekalkan beberapa fungsi khas BlackBerry di dalam DTEK50 seperti notifikasi semua-dalam-satu di BlackBerry Hub dan papakekunci maya paling pintar. Malah, BlackBerry turut mengembalikan butang fizikal khas yang sering terdapat pada model lama BlackBerry. Pengguna boleh menetapkan apa jua arahan pantas untuk dilancarkan menggunakan butang khas ini.

Blackberry DTEK50 dilancar - butang khasButang  khas BlackBerry DTEK50

Kuasa dalaman DTEK50 tidak kurang hebatnya. Ia menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 617, bergandingan dengan 3GB RAM serta 16GB storan dalaman. Ia turut memiliki slot kad mikroSD, untuk storan tambahan sehingga 2TB.

Skrin DTEK50 berukuran 5.2-inci, dengan resolusi tajam HD Penuh. Baterinya berkapasiti 2,610mAh, dilengkapi pengecasan pantas QuickCharge 2.0. Ia mampu mengecas 50% penuh dalam masa 51 minit. DTEK50 menjalankan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow dan lengkap dengan teknologi terkini seperti 4G LTE, WiFi 802.11ac, Bluetooth 4.2 dan juga NFC.

Blackberry DTEK50 dilancar - kamera belakang 13mp depan 8mp

Bahagian kamera DTEk50 juga agak hebat. Kamera belakangnya dibekalkan perakam 13MP f/2.0, dibantu dwi-tona LED Flash dan autofokus pengesanan fasa (PDAF). Kamera hadapan pula 8MP f/2.2, dan disertakan LED Flash untuk rakaman selfie yang lebih cerah.

BlackBerry nampaknya tidak mengulangi kesilapan yang dibuatnya di Priv. Harga DTEK50 tidaklah melampau mahalnya, hanya USD299 (~RM1,216) sahaja. Ia akan mula dijual bermula 8 Ogos 2016, tetapi tempahan kini telah dibuka di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Belanda.

Berminatkah anda untuk mendapatkan telefon Android paling selamat di dunia ini, memandangkan harganya juga agak selamat untuk dibelanjakan? Untuk maklumat lanjut, layari laman produk BlackBerry DTEK50.

Trackbacks

  1. […] boleh dikatakan abang kepada DTEK50 yang dilancarkan pada Julai tahun ini. DTEK60 memiliki perkakas lebih berkuasa, dan boleh digolongkan ke dalam peranti kelas […]

  2. […] baru melancarkan satu lagi telefon Android baru, yang dikenali sebagai DTEK50. Perkara penting yang membezakannya dari telefon Android lain, adalah aplikasi Blackberry yang […]

Apa komen anda?