Samsung Galaxy J (2016) mungkin tiba bersama rangkaian 4G LTE baru

Share Button

Samsung memiliki pelbagai siri telefon pintar Galaxy, untuk memenuhi keperluan pelbagai pihak. Siri-S adalah telefon pintar terbaik, diikuti siri-A untuk kelas pertengahan dan siri-J dalam kategori permulaan. Model terbaru siri-S dan siri-A telahpun diperkenalkan awal tahun ini, dan kini model terbaru siri-J pula akan tiba.

Samsung Malaysia telah mengeluarkan jemputan ke majlis pelancaran telefon pintar Galaxy siri-J, yang akan diadakan pada hari Rabu, 15 Jun 2016. Tiga model siri-J akan diperkenalkan iaitu Galaxy J1, Galaxy J5 dan Galaxy J7.

Ketiga-tiga model ini memiliki perkakas peringkat permulaan, dengan harga dijangka di bawah RM1,000. Mungkin akan timbul satu kejutan, kerana majlis pelancaran ini akan disertai oleh sebuah syarikat telekomunikasi yang agak kurang menonjol kebelakangan ini, iaitu Yes.

Jemputan ke pelancaran Samsung Galaxy siri-J 2016 02

Dalam jemputan tersebut, ia menyatakan Samsung dan Yes akan tampil dengan kejutan istimewa dalam pelancaran tersebut. Besar kemungkinan ia bukan sahaja melibatkan tawaran istimewa peranti dan talian Yes, tetapi pengenalan servis telekomunikasi terbaru dari Yes.

Hujung tahun lepas, terdapat beberapa rangkaian 4G LTE baru telah dikesan. Antaranya ialah talian dengan nombor kod 502-152. Dari senarai rangkaian SKMM, nombor kod 502-152 merujuk kepada YTL Communications yang mempunyai akses kepada spektrum 2600MHz.

Yes memulakan perkhidmatan telekomunikasinya melalui teknologi 4G WiMax, sama seperti P1 yang kini dikenali sebagai Webe. Capaian Yes melalui 4G WiMax agak meluas di seluruh negara, terutama di sekitar sekolah kebangsaan melalui projek 1Bestarinet.

Rangkaian 4G LTE Yes di Mate 8

Jika Yes mengumumkan servis 4G LTE di majlis pelancaran Samsung minggu depan, mereka akan menjadi penyedia rangkaian LTE kelima di Malaysia. Sedikit awal dari Webe, yang dijangka akan melancarkan servis LTE pada bulan Julai nanti.

Kalau benar Yes mahu melancarkan servis 4G LTE, harapnya ia akan diumumkan dengan pelan pengguna terus. Teruskan bersama kami di majlis pelancaran Samsung Galaxy siri-J minggu depan untuk maklumat lanjut.

Apa komen anda?