DATA perlu menjadi fokus utama perniagaan di Malaysia

Share Button

Kelambakan data di internet adalah peluang yang boleh dicapai sesiapa sahaja. Tetapi, adakah Malaysia bersedia mempergunakan kepelbagaian data ini?

Kajian terbaru Microsoft di dalam laporannya, Asia Data Culture Study 2016, memperlihatkan 85% pembuat keputusan di dalam syarikat di Malaysia, merasa penting untuk memajukan perniagaan menerusi penggunaan data, tetapi hanya 44% yang telah mula mempersiapkan diri dengan strategi digital untuknya.

Perkara ini dibentangkan oleh Dr Dzaharudin Mansor, Pegawai Teknologi Kebangsaan, Microsoft Malaysia. Menurut beliau, transformasi digital bukan sahaja menambah satu tahap di dalam perniagaan, tetapi ia adalah proses menggabungkan sosial, peranti mudahalih, analisa dan teknologi awan. Data adalah fokus utama. Mengenali pleanggan, meneroka peluang baru dan menyelaraskan proses adalah sebahagian perkara utama dalam strategi perniagaan.

Kaji selidik Microsoft Malaysia - Dr DzaharudinDr Dzaharudin Mansor, Pegawai Teknologi Kebangsaan, Microsoft Malaysia (kiri)

Kaji selidik Microsoft ini meliputi 940 peneraju perniagaan dari syarikat sederhana dan besar, di 12 pasaran di Asia. 45 daripadanya datang dari Malaysia sendiri. Kebanyakan mereka dari Malaysia ini bersetuju dengan kelebihan budaya data ini, tetapi ada halangan yang perlu diatasi.

Lima perkara budaya data yang memberi manfaat kepada perniagaan adalah:

  1. Kesinambungan perniagaan yang lebih baik
  2. Dapat membuat keputusan masa nyata
  3. Operasi syarikat yang lebih cekap
  4. Proses yang dipertingkat dan dipermudah
  5. Meningkatkan kepuasan pelanggan

Walaupun begitu banyak kelebihan dari penggunaan data, kajian Microsoft ini mengesan beberapa ruang yang perlu ditangani oleh perniagaan di Asia Tenggara untuk merealisasikan potensi data sepenuhnya.

Menyediakan tenaga kerja

Pekerja yang peka dengan penggunaan data adalah penting, tetapi ia masih sukar didapati. Hanya 39% responden di Asia Tenggara merasakan mereka mempunyai pekerja yang mampu mengintegrasi data ke dalam perniagaan. 42% lagi masih berasa takut untuk berubah ke arah transformasi digital.

Mempersiapkan infrastruktur

Majoriti responden bersetuju data adalah model perniagaan terbaru, tetapi hanya 46% merasa bersedia dengan infrastruktur yang mereka ada. Tambahan lagi, hanya 37% peneraju ini yang memiliki akses ke data menerusi peranti pintar. Masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan dalam ruang infrastruktur di Malaysia.

Tadbir urus data

Demokrasi data adalah arah tuju baru untuk transformasi digital. Tetapi hanya 56% responden merasakan perlu untuk memberi akses data kepada pelbagai lapisan pekerja di dalam syarikat. 41% responden pula merasakan perlindungan data adalah penghalang kepada strategi digital mereka.

Bagi mengatasi masalah di atas, menjadi tanggungjawab pemimpin terutama di tahap Ketua Pegawai (C-Level), untuk memastikan transformasi digital berjalan lancar di dalam syarikat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga dapat membantu, dengan memberi arah tuju yang jelas dalam menjayakan transformasi digital syarikat.

Satu contoh syarikat yang memaksimakan penggunaan data dalam mengembangkan operasi syarikat mereka, adalah iprice. Ia adalah satu laman destinasi membeli-belah dalam talian, yang menghubungkan pengguna kepada lebih 300 peniaga seperti Lazada dan Zalora.

Kaji selidik Microsoft Malaysia - David dari iprice CEO dan pengasas bersama iprice, David Chmelar

CEO dan pengasas bersama iprice, David Chmelar menerangkan, memahami keinginan pelanggan adalah penting dalam iprice. Operasi iprice di pelbagai negara memerlukan pendekatan yang komprehensif.

Dalam satu ketika, iprice mengesan peningkatan permintaan dalam produk kecantikan Korea menerusi data mereka, dan berjaya meningkatkan keuntungan tiga kali ganda. Kejayaan mengesan data sebegini lebih awal dari yang lain memberi kelebihan kepada iprice. Ia bukti data adalah raja dalam perniagaan.

 

Infografik laporan kajian Microsoft, Asia Data Culture Study 2016

Microsoft Asia Data Culture study 2016 - Infographik Asia

Apa komen anda?