Maxis terus catat keuntungan walau dilanda pelbagai berita dan cerita

Share Button

Suku pertama tahun 2016 menyaksikan banyak peristiwa menarik, terutama di arena telekomunikasi. Pelbagai pelan baru muncul bak cendawan, masing-masing cuba mengatasi satu sama lain.

Semakin banyak data diberikan ke dalam pelan pascabayar, di samping promosi tambahan yang diberikan bersamanya, kebanyakannya dalam bentuk strim video. Manakala TM sendiri, telah bersedia untuk turut serta dalam perang internet mudahalih ini, dengan pelancaran webe.

Walaupun diserang dengan pelbagai pelan baru dari pesaing, serta kontroversi di alam maya oleh ramai pengguna yang dikatakan tidak berpuas hati, Maxis kekal mencatatkan keuntungan suku pertama tahun ini. Maxis melaporkannya menerusi satu rakaman video yang dibentangkan oleh CEO Maxis, Morten Lundal.

 

Apabila dibandingkan dengan suku pertama (Q1) 2015, pada Q1 2016 Maxis berjaya mengekalkan keuntungan berjulah RM2.1 bilion. (Q1 2015: RM2,127 juta, Q1 2016: RM2,126 juta). Di bahagian pascabayar, keuntungan meningkat 2.3% (Q1 2015: RM972 juta, Q1 2016: RM994 juta). Tetapi prabayar mencatat penurunan sebayak 3.5% (Q1 2015: RM1,052 juta, Q1 2016: RM1,015 juta). Bagi keuntungan selepas cukai, ia meningkat 0.4% dari RM482 juta kepada RM484 juta.

Untuk jumlah pelanggan, Maxis kini memiliki 2.7 juta pengguna pascabayar. Ini adalah penurunan sebanyak 4.5% berbanding Q1 2015. Pengguna prabayar pula sebanyak 8.2 juta, penurunan sebanyak 8.8% berbanding waktu yang sama tahun lepas. Walaupun jumlah pelanggan menurun, Maxis masih berjaya mencatat kenaikan keuntungan dalam kedua-dua segmen.

laporan kewangan maxis q1 2016 - ceo maxis morten lundel

Menurut Morten, kunci kenaikan keuntungan pascabayar ini adalah meningkatnya pengguna pelan MaxisONE, yang mencecah hampir 1 juta pengguna. Dari segi liputan 4G pula, Maxis kini telah meliputi 74% kawasan berpenduduk di Malaysia (Q1 2015: 39%). Ia termasuk 36 bandar dan pekan utama di Malaysia Timur.

Morten turut menambah, tiada syarikat telekomunikasi yang melabur ke atas rangkaian sebanyak yang Maxis lakukan. Maxis telah membelanjakan RM1.4 bilion pada tahun 2015. Untuk Q1 2016 sahaja, mereka telah membelanjakan lagi RM160 juta.

laporan kewangan maxis q1 2016 - Maxis no 1 4G LTE

Penggunaan 4G LTE juga meningkat berganda, dari 1.6 juta di Q1 2015, kepada 3.2 juta pada Q1 2016. Sebanyak 77% pengguna pascabayar menggunakan 4G LTE, dan 67% bagi pengguna prabayar. Penggunaan data pula mencatatkan, purata 2.6GB digunakan oleh setiap orang pengguna Maxis sebulan.

Sebagai kesimpulan, Morten menyatakan pengguna di Malaysia mahukan lebih banyak kuota data. Untuk masa akan datang, Maxis mahu memberikan bukan sahaja lebih data, tetapi peluang untuk mempergunakannya dengan lebih lagi.

Untuk membaca laporan penuh, muat turun laporan dalam bentuk PDF di sini.

Comments

Apa komen anda?