Lagi kebocoran pelan Webe, kali ini liputan rangkaian 4G

Share Button

Pasti ramai berdukacita apabila Webe hanya mengumumkan penukaran namanya dari P1, kepada Webe pada majlis pelancaran minggu lepas. Tiada pelan baru diumumkan, walaupun sebelum itu terdapat ketirisan menyatakan Webe akan datang dengan pelan bersama internet tanpa had. Tetapi, mungkin ada kebenaran dalam ketirisan tersebut. Kerana, satu lagi kebocoran maklumat ditemui.

Webe dilihat sedang menjalankan ujian dalaman, menerusi satu laman jemputan. Tetapi terdapat maklumat yang terbuka, boleh ditemui di dalam kod sumber laman tersebut. Untuk melihatnya, hanya pergi ke laman jemputan Webe, dan tekan ‘View Source‘ (lihat sumber). Jika anda mencari ‘Pioneer Plan‘, anda akan dapat menemui banyak info di situ.

pelan Webe Pioneer terbocor di kod sumber

Sebagai permulaan, pelan ‘Webe Pioneer’ terbuka kepada individu terpilih sahaja. Mereka boleh mendaftarnya antara 31 Mac sehingga 6 Mei 2016. Selepas 31 Julai, semua pengguna akan ditukarkan kepada pelan komersial.

Pelan ini datang dengan 20GB internet mudahalih, 1,000 minit panggilan tempatan dan 1,000 SMS. Komitmennya hanya RM10.60 sebulan (berbeza dengan RM8 sebelum ini), tetapi ia datang dengan had tersendiri.

Pertama, data ini tidak boleh dikongsi dengan peranti lain, atau menjadi WiFi hotspot. Jika mahu, perlu membeli Pas WiFi Peribadi berharga RM6.36 untuk kegunaan 2 jam. Had sebegini adalah yang pertama seumpamnya di Malaysia.

Jika 20GB data tadi habis digunakan, pengguna masih boleh menggunakan internet, tetapi dengan kelajuan dihadkan ke 128kbps, sedikit lebih baik dari telco lain yang mengehadkan pada kelajuan 64kbps untuk internet asas. Pengguna Webe juga dibenarkan untuk memuat turun fail P2P tetapi ia dihadkan pada kelajuan 64kbps, dan data yang tidak habis digunakan tidak boleh dibawa ke depan.

peta liputan Webe 4G

Untuk liputan pula, Webe dilihat mempunyai rangkaian di kebanyakan bandar dan pekan, termasuk di Malaysia Timur. Liputan ini dilihat sama seperti rangkaian TMgo. Ini kerana, Webe dilihat menggunakan spektrum 850Mhz untuk talian 4G, berbeza dengan spektrum 1800MHz/2600MHz yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi lain di Malaysia. Bermakna, peranti pengguna Webe perlu menyokong rangkaian 4G 850Mhz, untuk akses penuh ke rangkaian 4G Webe.

Bagaimanapun, data ini tidak menyatakan apa-apa perkara tentang pelan internet tanpa had RM80, yang terdapat pada ketirisan pelan Webe sebelum ini. Webe dijangka akan melancarkan servis komersialnya pada pertengahan tahun ini. Buat masa ini, orang ramai boleh menyertai projek komuniti Webe, yang mencari pendokong untuk 7 projek sedia ada sekarang.

[SUMBER]

Apa komen anda?