Acer Predator lebih buas diperkenal: G1 dan 17X

Share Button

Majlis pelancaran next@Acer di Amerika Syarikat, turut diserikan dengan pengenalan dua model baru dibawah jenama Predator, iaitu G1 dan 17X. Predator G1 adalah komputer gaming desktop berkuasa tinggi, dalam casis menara kompak. Manakala Predator 17X adalah versi naik taraf dari Predator 17 yang dilancar tahun lepas.

Apa yang ditekankan kali ini, kedua-dua model Predator baru ini kini menyokong peranti realiti maya (VR) dari empat pengeluar utama iaitu Oculus, HTC Vive, OSVR dan StarVR. Dengan prestasi lebih tinggi, ia mampu memacu peranti VR ini dengan lancar.

Predator G1 – kompak bertenaga

Pelancaran next a acer - Predator G1 dan beg troli

Acer kini membawakan sebuat komputer desktop mini, yang mudah dibawa ke mana-mana tapi kekal bertenaga luar biasa. Ia direka agar boleh dimuatkan di dalam beg troli, malah senang diangkat ke LAN Party yang memerlukan kuasa tinggi.

Saiz casis Predator G1 hanyalah 16 liter, tetapi ia boleh memuatkan kad grafik NVIDIA GeForce GTX bersaiz penuh (sehingga Titan X). Ia juga serasi dengan CPU Intel terkini, Core-i generasi ke-6 dengan RAM sehingga 64GB DDR4.

Lain-lain spesfikasi hebat Predator G1 adalah seperti rangkaian Killer DoubleShot™ Pro, kawalan bunyi 7.1 saluran Creative Soundblaster X-Fi MB5, storan SSD sehingga 512G, serta 2 port USB-C 3.1.

Bagi menambah tarikan, Acer menawarkan beg troli khas Predator G1, untuk 1,000 pembeli pertama. Komputer Desktop Predator G1 akan mula dijual di Amerika Utara dan China pada bulan Julai, dan di Eropah pada bulan Jun, masing-masing dengan harga bermula dari USD2,299 (~RM8,958), RMB10,999 (~RM6,612) dan EUR1,199 (~RM5,277).

Predator 17X – ditambah kuasa VR

Pelancaran next a acer - Predator 17X dipegang

Secara kasar, tiada perubahan ketara berlaku pada Predator 17X untuk dibandingkan dengan Predator 17. Satu perkara yang pasti, ia cukup bertenaga untuk menggerakkan permainan realiti maya (VR), Ini kerana ia dilengkapi pemproses grafik terbaik dari NVIDIA, iaitu GeForce GTX 980.

Selain itu, Predator 17X digerakkan oleh CPU Intel Core i7-6820HK, terbaik dari ladang Intel. Bagi mententeramkan dua pengganas Core i7 dan GeForce GTX 980 ini, Acer melengkapkan sistem penyejukan khas tiga-kipas. Kipas ini juga boleh digerakkan dalam pusingan terbalik, untuk membuang habuk dari dalam laptop.

Predator 17X akan datang dalam pilihan dua jenis skrin, HD Penuh 1920×1080 atau UHD 4K 3840×2160. Ia menyokong teknologi NVIDIA G-SYNC bagi menghasilkan paparan yang lancar dan tajam.

Laptop yang ganas ini turut diperkasa dengan RAM DDR4-2133, storan SSD NVMe PCIe, rangkaian Killer DoubleShot Pro, serta sambungan Thunderbolt 3 dalam bentuk USB-C.

Bagi menambah keseronokan bermain games, papankekunci Preator 17X dilengkapi lampu belakang yang boleh diubahsuai warna dan iramanya. Kekuncinya juga boleh diubahsuai mengikut jenis permainan, di samping merekodkan kekunci makro melalui satu butang mudah.

Laptop Predator 17X akan mula dijual di Amerika Utara dan Eropah pada bulan Jun, dan di China pada bulan Mei, masing-masing dengan harga bermula dari USD2,799 (~RM10,907), EUR2,499 (~RM11,000) dan RMB39,999 (~RM24,047)

Apa komen anda?