Pelan Digi Broadband 145 & 185 terbaru tawar kelajuan LTE-A mencecah 100Mbps

Share Button

Digi hari ini melancarkan dua pelan khas LTE-A (LTE Advanced) iaitu, Broadband 145 dan Broadband 185. Pelancaran ini selaras dengan pencapaian Digi yang menyatakan, memiliki capaian LTE-A terluas di Malaysia. Kini, pengguna Digi boleh menikmati kelajuan LTE-A di lebih banyak tempat di Malaysia.

Pelan baru Broadband 145 memberikan 50GB data, dengan caj RM145 sebulan. Manakala pelan Broadband 185 pula dengan 100GB internet, dikenakan caj RM185 sebulan. Kedua-dua pelan ini boleh dilanggan bermula 1 April 2016.

Pelan baru Digi Broadband 145 dan 185 menyokong LTE-A

Walaupun pelan ini menyatakan 50GB & 100GB data bulanan, ia bukanlah untuk kegunaan sepanjang masa. Pelan Broadband 145 memecahkan kuota kepada 20GB data sepanjang masa, dan 30GB burung hantu (2am-8am). Manakala Broadband 185 pula, 30GB data sepanjang masa dan 70GB burung hantu (2am-8am). Khas untuk pengguna Broadband 185, selepas kuota habis digunakan mereka masih boleh menggunakan internet asas tanpa had, berkelajuan 512kbps.

Lebih baik lagi, jika anda pelanggan sedia ada Pascabayar Digi, anda boleh mendapatkan diskaun RM25 sebulan. Ini menjadikan pelan ini dicaj RM120 dan RM160 sahaja. Pelanggan Pascabayar Digi juga boleh mendapatkan MobiFi, router wayarles mudahalih (model Huawei E5786B) pada harga hanya RM203, berbanding harga biasa RM754.

Digi MobiFi berasaskan MiFi Huawei E5786B

Untuk lebih mudah, Digi juga menyediakan pelan kontrak untuk mendapatkan MobiFi. Dengan kontrak selama 12 bulan, bersama pelan Broadband 145 pengguna hanya membayar RM300 (RM145 deposit sebulan + RM155 deposit peranti). Manakala kontrak pelan Broadband 185 memerlukan deposit RM280 (RM185 deposit sebulan + RM95 deposit peranti). Kemudian, selama kontrak 12 bulan, pengguna perlu membayar lagi RM9 selama 12 bulan.

Bermakna, kontrak dengan pelan Broadband 145 bersama MobiFi, pengguna perlu membayar sejumlah RM263 (RM155 deposit peranti + RM108 caj bulanan peranti). Dengan pelan Broadband 185 pula, ia berjumlah RM203 (RM95 deposit peranti + RM108 caj bulanan peranti). Jika anda pengguna Digi, lebih baik jika anda membeli terus MobiFi tanpa kontrak, kerana harga MobiFi hanya RM203, khusus untuk pengguna sedia ada Digi.

Pelan kontrak Digi Broadband LTE-A 145 dan 185

Selain MobiFi, pelan Digi Broadband 145 dan 185 juga boleh digunakan dengan mana-mana peranti yang menyokong LTE-A CAT6. Contohnya telefon pintar iPhone 6s, Galaxy S6 dan S7 edge, LG G4, serta Nexus 6P. Digi MobiFi menyokong rangkaian LTE CAT6, WiFi 802.11ac dan boleh menghubungkan sehingga 10 peranti.

Digi menyatakan, rangkaian LTE-A mereka terluas di Malaysia, dengan capaian 31% di kawasan berpenduduk. Untuk menikmati LTE-A, pengguna perlukan kad sim 4G, peranti 4G LTE CAT6 dan berada di dalam kawasan liputan LTE-A. Sesiapa sahaja pengguna Digi samada prabayar atau pascabayar, boleh menikmati LTE-A Digi.

Digi turut menunjukkan demonstrasi kelajuan 4G LTE-A mereka. Di Bukit Jalil, ia mencecah 100Mbps. Untuk mengetahui kawasan liputan 4G LTE dan LTE-A Digi, layari lamanweb liputan Digi.

demo kelajuan Digi LTE-A mencecah 100mbps

Apa komen anda?