Tahan lebih lama dengan kuasa maksima ASUS Zenfone Max

Share Button

Hari ini, ASUS Malaysia mengumumkan ketibaan telefon pintar dengan jangka hayat yang panjang, iaitu ASUS Zenfone Max. Nama Max pada telefon ini, merujuk kepada kapasti baterinya yang sangat besar, memberikan pengguna jangka hayat maksima, jauh lebih lama dari biasa.

Zenfone Max memiliki bateri berkapasiti 5,000mAh, jauh lebih besar dari kebanyakan telefon pintar masakini, yang rata-rata hanya sekitar 2,000 ke 3,000mAh sahaja. Dengan kapasiti bateri sebesar ini, ia diakatakan mampu digunakan untuk bercakap di talian 3G selama 37.6 jam, melayari internt selama 32.5 jam, dan memainkan video selama 22.6 jam.

Malah, Zenfone Max juga boleh menjadi powerbank. Ia boleh mengecas peranti lain, menggunakan sambungan OTG mikroUSB. Dengan kapasiti bateri seperti ini, pasti tiada masalah menghulurkan sedikit tenaga kepada yang memerlukan.

ASUS Zenfone Max - reverse charge

Sedikit mengecewakan, Zenfone Max tidak memiliki pengecasan pantas. Ini bermakna, ia akan mengambil masa yang sangat panjang, untuk mengecasnya penuh.

Zenfone Max dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 410 64-bit, yang terbukti sangat jimat tenaga. Ia dipadankan dengan 2GB RAM LPDDR3, dan memiliki 16GB storan dalaman. Slot kad mikroSD pula sedia menerima tambahan sehingga 64GB storan.

Untuk kamera, ia datang dengan sensor 5MP di depan, dan 13MP F2.0 di belakang. Kamera belakang ini dibantu dengan autofokus lazer yang pantas, serta dwi-tona LED Flash untuk gambr lebih realistik. Tidak dilupakan, fungsi PixelMaster tersedia menjadikan gambar lebih cerah dari biasa.

ASUS Zenfone Max - depan belakang putih

Rupa luaran Zenfone Max direka sedikit berbeza dari Zenfone biasa. Ia mempunyai bingkai seakan besi, dengan kemasan kasar di belakang. Ia juga mempunyai ketebalan 10.55mm, dengan berat 202 gram. Lebih tebal dan berat dari kebiasaan, untuk memuatkan kapasiti bateri 5,000mAh yang sangat besar.

Skrin Zenfone Max menggunaka paparan IPS, dengan ukuran 5.5-inci dan resolusi HD 1280×720. Ia dilitupi kaca Corning Gorilla Glass 4 yang kalis calar, dan fungsi sentuhannya boleh digunakan bersama sarung tangan.

ASUS Zenfone Max - dua warna hitam dan putih belakang

Dua slot kad sim tersedia di dalam Zenfone Max, tetapi hanya satu slot yang menyokong rangkaian 4G LTE. Slot kedua menyokong sehingga rangkaian 3G sahaja. Zenfone Max menggunakan antaramuka ZenUI, yang menjalankan Android 5.0 Lollipop.

Zenfone Max kini telah mula dijual di Malaysia, pada harga RM899 termasuk GST. Terdapat dua warna boleh dipilih, antara Hitam atau Putih. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman produk ASUS Zenfone Max.

 

Apa komen anda?