Siri VoLte dan jam pintar EX Watch taruhan terbaru EXMobile

Share Button

Kelemahan Ringgit Malaysia dan penurunan kuasa beli rakyat Malaysia, memberi ruang baru kepada pengeluar peranti tempatan yang menghasilkan telefon mampu milik. Salah satu daripadanya ialah EXMobile, yang baru sahaja melancarkan telefon pintar mampumilik terbaru keluaran mereka. EXmobile melancarkan siri telefon pintar VoLte 2, bersama jam pintar EX Watch untuk pasaran Malaysia.

EXMobile telah bergiat dalam bidang penghasilan peranti ini selama 6 tahun. Ia kini mempunyai lebih 800 pengedar dan 10 pusat servis di seluruh negara. EXMobile juga telah menghasilkan lebih 100 model peranti sejak 2009.

Exmobile lancar siri Volte bersama duta

Majlis pelancaran ini dihadiri oleh duta EXMobile, bekas pemain badminton kebangsaan Malaysia, Rashid Sidek. Turut serta bersama beliau adalah Mr GST, Gee Tian Long yang turut dilantik sebagai duta mempromosikan produk EXMobile.

Walaupun namanya nampak seperti biasa dibaca, tetapi ia tidak berkaitan dengan teknologi Voice over LTE, VoLTE. Model baru yang diperkenalkan EXMobile kali ini adalah VoLte 2. Ia adalah telefon pintar dengan skrin HD 5-inci, menggunakan kaca lengkung 2.5D. VoLte 2 mempunyai ketebalan hanya 6.8mm dengan berat 139 gram.

EXMobile VoLte 2 banner

Kuasa VoLte 2 dhasilkan oleh CPU Mediatek 6735A 4-teras, bersama 2GB RAM dan 16GB storan. Storan dalaman ini sedia ditambah melalui slot kad mikroSD. Ia turut dilengkapi cip audio berkualiti tinggi, YAMAHA HiFi YDA165 bersama teknologi bunyi DTS Dolby.

Kamera belakang VoLte2 menggunakan sensor 13MP F2.2, yang dipadankan dengan dwi-tona LED Flash. Kamera hadapannya pula 5MP. Baterinya berkapasiti 2,200mAh dan menjalankan sistem operasi Android 5.1.1 Lollipop.

VoLte 2 mempunyai dua slot kad sim yang menyokong rangkaian 4G LTE. Ia telah mula dijual di Malaysia, pada harga RM549. Ia boleh dibeli dari pengedar EXMobile di seluruh Malaysia, atau melalui lamanweb Lazada Malaysia.

jam pintar EXMobile EX Watch

Selain telefon pintar VoLte 2, EXMobile turut memperkenalkan jam pintar EX Watch. Ia mempunyai skrin sentuh berbentuk bulat, yang menjalankan CPU MT2502A bersama 128MB RAM di dalam. Ia turut mempunyai storan dalaman 32GB dan menerima kad mikroSD untuk storan tambahan.

Beberapa fungsi pintar yang terdapat pada EX Watch seperti pemantau tidur, pedometer, pemantau degupan jantung, kawalan kamera jarak jauh, serta kalis air IP 65.

EX Watch akan mula dijual pada suku pertama tahun ini, pada harga RM399. Terdapat dua versi tali jam, iaitu besi dan kulit, dengan empat wrana pilihan iaitu perak, hitam, biru emas dan emas ros.

Untuk maklumat lanjut, layari lamanweb EXMobile serta Facebook EXMobile.

Apa komen anda?