Set AP Redmi 3 mula dijual di Malaysia

Share Button

Telefon pintar paling murah Xiaomi, baru menerima rekaan baru dan dinaiktaraf perkakas menjadi Redmi 3. Ia baru sahaja dijual di China awal bulan ini, tetapi kini ia telah mula dijual di Malaysia, oleh penjual set AP.

Sepatutnya ia adalah telefon pintar Xiaomi paling murah, tetapi tidak untuk masa terdekat ini. Penjual telefon pintar set AP yang terkenal, SatuGadget dan DirectD dilihat telah mula menjual Redmi 3, pada harga RM688. Di China, Redmi 3 dijual berharga hanya RMB699 (~RM452).

Set AP Redmi 3 di SatuGadget

Harga ini masih lebih murah dari Redmi Note 3 set AP, yang berharga RM699 di kedai yang sama. Tapi dengan tambahan RM11, Redmi Note 3 memberikan CPU Mediatek Helio X10 yang lebih berkuasa, skrin HD penuh lebih besar 5.5-inci, serta pengimbas capjari.

Redmi 3 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 616 8-teras, bersama 2GB RAM dan 16GB storan. Ia masih memiliki slot kad mikroSD, satu kelebihan berbanding Redmi Note 3.

Xiaomi Redmi 3 dilancar di China

Dua slot kad sim terdapat pada Redmi 3, yang mmenyokong rangkaian 4G. Ia juga memiliki bateri yang besar, berkapasiti 4,100mAh dan menyokong pengecasan pantas 5V2A.

Untuk kamera, Redmi 3 dilengkapi sensor 13MP F2.0 di belakang, dan 5MP F2.2 di depan.

Jika Redmi 3 dilancarkan secara rasmi di Malaysia, dijangkakan harganya tidak akan lebih dari RM600. Ia bakal memberi ancaman kepada telefon lain, yang terdapat dalam senarai telefon murah di bawah RM600 kami.

Jadi, nak beli sekarang ke atau nak tunggu ia dilancarkan secara rasmi? Mungkin kena tunggu dua bulan lagi.

Comments

Apa komen anda?