Telefon baru Xiaomi di TEENA, adakah ia Redmi 3

Share Button

Redmi 2 dilihat sebagai telefon pintar paling berbaloi untuk dimiliki, terutama jika bajet anda di bawah RM400. Tiada dalam kelasnya mampu memberikan spesifikasi seperti Redmi 2, iaitu skrin HD 720p, dua slot sim 4G dan bateri 2200mAh. Sebagai telefon murah, ia menggunakan plastik sebagai bahan binaan luar.

Tetapi ia mungkin akan berubah selepas ini. Redmi Note 3 yang diumumkan sebelum ini, telah menampilkan badan besi sepenuhnya, tetapi mengekalkan harga yang murah. Iaitu di bawah RM1,000, dengan spesifikasi yang lebih baik dari kebanyakan peranti kelas pertengahan.

Xiaomi Redmi 3 dikesan di TEENA - sisi tepi

Satu penemuan baru telah dikesan di lamanweb TEENA (agensi kerajaan seperti SIRIM di China), yang dipercayai adalah telefon pintar baru keluaran Xiaomi, iaitu Redmi 3. Ia mempunyai badan besi penuh seperti Redmi Note 3, tetapi tanpa pengimbas capjari di belakang.

Dengan badan besi, penutup belakangnya dilihat tidak lagi boleh dibuka. Ini bermakna, bateri tidak boleh ditukar sendiri. Tetapi menurut lamanweb tersebut, ia masih memiliki slot kad mikroSD, berkemungkinan berkongsi slot dengan kad sim.

Spesifikasi lain yang dinyatakan adalah seperti skrin lebih besar berukuran 5-inci, dan mengekalkan resolusi HD 720p. Ia dijangka menjalankan CPU Snapdragon 615, 8-teras berkelajuan 1.5GHz bersama 2GB RAM. Storan dalamannya 16GB, dengan kombinasi kamera belakang 13MP, dan kamera depan 5MP.

Dari senarai ini, Redmi dilihat ingin keluar dari kelas permulaan, kepada peranti kelas pertengahan. Sesuatu yang sering dibuat Xiaomi dengan model ‘Enhanced’. Persoalan utamanya, adakah Xiaomi akan mengelkan harga kelas rendah untuk Redmi 3 ini kelak?

Paling utama, ia tidak akan dijual lebih tinggi dari harga Redmi Note 3, yang akan dijual di China pada Tahun Baru China akan datang, dengan harga bermula dari RMB899 (~RM595). Beberapa pengedar telefon di Malaysia, telah pun menjual set AP Redmi Note 3, pada harga bermula dari RM699.

[SUMBER: 1, 2]

Apa komen anda?