Usaha mengembalikan keyakinan HTC menghasilkan One A9

Share Button

Dalam satu majlis pelancaran yang dibuat dalam talian, HTC sebentar tadi memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, HTC One A9. Ia juga adalah telefon pintar bukan Nexus, yang pertama dilengkapi Android 6.0 Marshmallow.

HTC One A9 boleh dikategorikan di dalam kelas pertengahan, apabila dilihat pada spesifikasinya. Ia menggunakan CPU Qualcomm yang lebih baru, Snapdragon 617, 64-bit 8-teras. 4-teras bekelajuan 1.5GHz dan 4-teras 1.2GHz.

Terdapat dua model One A9 yang akan dijual, versi 2GB RAM bersama 16GB storan, dan versi 3GB RAM bersama 32GB storan. Yang penting, ia memiliki slot kad mikroSD, untuk storan tambahan.

HTC One A9 Topaz Gold beakang depan sisi

Sekali pandang, HTC One A9 kelihatan seperti telefon pintar Samsung Galaxy, kerana pengimbas capjari yang turut menjadi butang Home. Di belakang pula, dengan rekaan besi sepenuhya, ia seperti menyerupai iPhone 6 pula.

Skrin AMOLED pada One A9 sebesar 5-inci, dengan resolusi HD Penuh 1920×1080 dan diperteguh kaca Corning Gorilla Glass 4. Ia mempunyai ketebalan 7.26mm, satu angka yang agak nipis, serta berat hanya 143 gram.

HTC One A9 - secawan kopi

Satu perkara yang kami rasakan kehilangan identiti HTC, apabila tiada lagi pembesar suara stereo di hadapan. Pembesar suara One A9 terletak di bawah, bersebelahan port mikroUSB 2.0.

Tetapi HTC menjanjikan kualiti audio yang tidak kurang hebat pada One A9. Ia mempunyai DAC terbina di dalam, yang boleh memainkan bunyi resolusi tinggi 24-bit 192KHz, yang turut dikuasakan sistem bunyi keliling Dolby Audio. HTC turut meletakkan amplifier headfon bertenaga tinggi, untuk menjana bunyi hebat pada apa jua headfon.

Bahagian kamera One A9 tampak hebat. Kamera belakangnya menggunakan sensor BSI 13MP F2.0, dengan penstabil imej optikal (OIS). Kamera depan pula menggunakan teknologi HTC UltraPixel, menangkap lebih cahaya untuk gambar selfie lebih cerah. Kamera One A9 diperhebatkan dengan fungsi seperti tangkapan format RAW, mod profesional untuk lebih kawalan manual, dan rakaman video Hyperlapse.

Kamera HTC One A9

Bateri One A9 berkapasiti 2,150mAh, agak kecil untuk skrin sebesar ini. Tetapi ia mempunyai pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 2.0, yang boleh dinaik taraf secara perisian ke Quick Charge 3.0 tidak lama lagi.

Di Amerika Syarikat, HTC One A9 dijual pada harga USD399.99 (~RM1721), untuk model 3GB RAM & 32GB Storan. HTC turut memberikan langganan Google Play Music percuma selama 6 bulan, serta servis perlindungan HTC Uh Oh.

Harga tempahan HTC One A9 3GB RAM di Amerika

Paling menarik, HTC menjanjikan naiktaraf sistem operasi dalam masa 15 hari, selepas peranti Nexus menerimanya. Mampu ke? Tetapi gelaran peranti Marshmallow pertama selain Nexus, mungkin boleh diberikan kepada HTC One A9.

HTC One A9 akan datang dalam 4 jenis warna, iaitu Topaz Gold, Carbon Gray, Opal Silver dan Deep Garnet.

HTC US Launch 004 - HTC One A9 multicolor

HTC One A9 telah dibuka tempahan di Amerika Syarikat hari ini, dan akan dipasarkan di peringkat antarabangsa pada minggu pertama bulan November. Tiada spesifik negara diberikan. Harap-harap gelombang pertama nanti termasuk Malaysia.

 

Trackbacks

  1. […] One A9 adalah telefon pintar yang diperkenalkan kepada umum bulan Oktober lepas. Ianya agak kontroversi, kerana rekabentuk HTC One A9, sangat-sangat menyerupai […]

Apa komen anda?