Tempahan Surface Pro 4 mula dibuka di Lazada Malaysia

Share Button

Peminat tablet Microsoft Surface nampaknya tidak perlu menunggu lama, kerana hari ini Microsoft Malaysia telah membuka pra-tempahan tablet terbaru mereka, Surface Pro 4 di Malaysia. Tempahan Surface Pro 4 boleh dilakukan di laman e-dagang Lazada Malaysia.

Microsoft membuat tempahan melalui stor dalam talian mereka yang baru dibuka, di Lazada Malaysia. Harga Surface Pro 4 bermula dari RM3,999 dengan CPU Intel Core m3, 4GB RAM dan storan SSD 128GB. Berbeza dengan Surface Pro 3 sebelum ini, Surface Pro nampaknya tidak menyertakan Surface Pen. Ia dijual berasingan. Tempahan akan mula dihantar pada 19 November 2015, sebulan dari sekarang.

Spesifikasi dan harga jualan Microsoft Surface Pro 4

  • Core m3, 4GB RAM, Storan SSD 128GB – RM3,999
  • Core i5, 4GB RAM, Storan SSD 128GB – RM4,449
  • Core i5, 8GB RAM, Storan SSD 256GB – RM5,799
  • Core i7, 8GB RAM, Storan SSD 256GB – RM7,099
  • Core i7, 16GB RAM, Storan SSD 256GB – RM8,049
  • Core i7, 16GB RAM, Storan SSD 256GB – RM9,799

Aksesori Surface Pro 4 juga boleh ditempah bersama. Antara aksesori yang disenaraikan adalah Type Cover baru untuk Surface Pro 4, dalam 2 warna biru atau hitam, berharga RM529. Surface Pen yang baru pula berharga RM240, dengan lima pilihan warna: biru, perak, kelabu dan merah. Surface Pro 4 Dock yang dilengkapi 2 DisplayPort, 1 port Gigabit Ethernet, 4 port USB 3.0 dan 1 port audio 3.5mm, dijual pada harga RM1,059.

Microsoft Surface Pro 4 di Lazada Malaysia

Dengan setiap pra-tempahan Surface Pro 4 di Lazada Malaysia, pembeli akan turut menerima sleeve kulit premium, serta pembersih skrin. Jika tidak mahu membuat tempahan dalam talian, tempahan turut akan dibuka di kedai pengedar sah Microsoft, bermula 26 Oktober 2015. Kedai yang terlibat adalah:

  1. Harvey Norman
  2. All IT Hypermarket
  3. PC Image Sdn Bhd
  4. Senheng Electric
  5. senQ Digital station
  6. SNS Network
  7. Thunder Match Technology
  8. Viewnet Computer System
  9. Microsoft Authorized Reseller Store (KLCC) – Lot 317 & 318, Level 3, Suria KLCC, Kuala Lumpur City Centre (+603-21810847)

Surface Pro 4 depan dan belakang berdiri

Surface Pro 4 adalah tablet Microsoft paling ringan, nipis dan berkuasa. Malah, Microsoft turut menggelarnya sebagai pengganti laptop. Ia dikuasakan CPU Core generasi ke-6, bermula dari Core m3, Core i5 dan Core i7. Skrin Surface Pro 4 sebesar 12.3-inci dengan PixelSense.

Surface pro dilengkapi kamera depan 5MP untuk membuat panggilan video, serta kamera belakang 8MP dengan autofokus. Baterinya dikatakan mampu bertahan sehingga 9 jam lamanya. Lebih info terdapat di artikel kami, Surface Pro 4 Datang Dengan Pen Yang Tak Perlu Dicaj Setahun

Pra tempah Surface Pro 4 ini juga menandakan pembukaan stor dalam talian Microsoft Malaysia, yang dibuka di Lazada Malaysia. Bermula 27 Oktober, lebih banyak produk Microsoft boleh dibeli di stor dalam talian ini. Produk seperti Office 365, Windows 10, telefon pintar Windows Lumia serta pelbagai aksesori selain laptop, tablet dan peranti 2-dalam-1.

Apa komen anda?