Stor online ASUS Malaysia mula jual Zenfone 2 Deluxe 128GB

Share Button

Anda mahukan telefon pintar dengan storan terbesar? Secara rasmi, di Malaysia hanya iPhone menawarkan storan terbesar 128GB di telefon pintar. Tapi kini, telefon pintar Android dengan storan 128GB sudah boleh dibeli di Malaysia.

ASUS Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan Zenfone 2 Deluxe ke ASUS Online Store. Ia dijual pada harga RM,1599 termasuk GST, serta penghantaran percuma ke seluruh Malaysia. Hanya satu warna ditawarkan buat masa ini, iaitu Stardust Purple.

ASUS ZenFone 2 Deluxe - depan belakang senget

Zenfone 2 Deluxe adalah telefon pintar yang sama seperti Zenfone 2 dengan 4GB RAM, yang dilancarkan awal tahun ini, tetapi ia dilengkapi storan dalaman sebesar 128GB, yang turut menyokong storan luar mikroSD.

Tambahan lagi, ia mempunyai penutup belakang yang sangat menarik, yang diinspirasikan dari rekabentuk kristal. Ia direka menggunakan lebih 500 poligon 3 dimensi, memberikannya rupa lebih bergaya dari Zenfone 2 biasa.

Kuasa dalaman Zenfone 2 Deluxe sama sahaja seperti Zenfone 2 biasa. Ia menggunakan CPU Intel Atom Z3580, 4-teras berkelajuan 2.3Ghz. Ia digandingkan dengan RAM LPDDR3 sebesar 4GB.

Zenfone 2 Deluxe menyokong rangkaian 4G LTE serta dua slot kad sim. Ia mempunyai skrin IPS sebesar 5.5-inci HD Penuh dengan kapasiti bateri 3,000mAh dan juga pengecas pantas ASUS BoostMaster. Kamera belakangnya 13MP F2.0 dengan dwi-tona LED Flash, manakala kamera depan 5MP.

Model Zenfone 2 yang lain masih dijual di Stor ASUS Malaysia. Zenfone 2 dengan 4GB RAM serta 64GB storan dijual pada harga RM1,399, manakala Zenfone 2 dengan 4GB RAM dan 32GB storan pula RM1,199.

 

Mahu tahu lebih lanjut tentang Zenfone 2? Baca laporan kami dalam Test Produk ASUS Zenfone 2.

 

Comments

Apa komen anda?