Perbandingan Harga Tawaran Telko Bagi iPhone 6s dan 6s Plus

Share Button

Telefon pintar iPhone 6s dan 6s Plus akan mula dijual di Malaysia pada 16 oktober 2015. Harga iPhone 6s bermula dari RM3,199 untuk untuk storan 16GB, RM3,699 64GB dan RM4,199 untuk 128GB. Manakala iPhone 6s Plus pula berharga RM3,699 untuk 16GB storan, RM4,199 64GB dan RM4,699 bagi 128GB..

Kenaikan harga mendadak kedua-dua telefon pintar baru Apple ini, banyak disumbang oleh perbezaan kadar tukaran matawang asing, di mana Ringgit Malaysia turun secara drastik berbanding Dolar US dalam satu tahun yang lepas.

Melihatkan harga yang sangat tinggi ini, pastinya tawaran pakej dari syarikat telekomunikasi (telko) yang memberikan subsidi apabila membeli telefon, menarik minat anda. Tetapi anda pening nak membuat perkiraan pelan mana paling sesuai dan paling berbaloi untuk dipadankan dengan iPhone 6s baru anda?

Usah khuatir, di sini kami sediakan jadual semua pelan telko di Malaysia, yang menawarkan iPhone 6s dan 6s Plus yang baru. Jadual ini turut menyenaraikan ketiga-tiga storan yang ada, iaitu 16GB, 64GB dan 128GB.

Terdapat 4 telko yang menawarkan iPhone 6s dan 6s Plus pada hari pertama jualannya iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. Kesemua telko ini kelihatan menawarkan semua jenis warna dan storan yang ada. Tetapi pastinya selagi stok masih ada.

Di bawah ini adalah jadual perbandingan harga pembelian telefon pintar iPhone 6s dan 6s Plus, bersama kontrak pelan merangkumi data internet, panggilan, SMS dan beberapa bayaran tambahan yang lain. Klik untuk gambar lebih besar.

Jadual pelan telko iPhone 6s dan 6s Plus rev3 WM

 

Celcom

iPhone 6s di Celcom

Celcom kali ini menawarkan kontrak selama 24 bulan, dalam bentuk tiga jenis pelan bersama pembelian iPhome 6s dan 6s Plus, iaitu FIRST Basic 85 dengan komitmen RM85 sebulan, yang menawarkan optimasi data 5GB, 100 minit panggilan dan 100 SMS, atau optimasi panggilan 700 minit, 700 SMS dan 2GB data.

Pelan kedua ialah FIRST Basic 85 Max Up All, dengan komitmen bulanan RM135 yang memberikan optimasi data 6GB, 350 minit panggilan dan 350 SMS, atau optimasi panggilan 950 minit, 950 SMS dan 3GB data.

Manakala pelan ketiga adalah FIRST Elite yang memberi 2 kad sim, dengan kad sim pertama dilengkapi optimasi data 5GB data, 200 minit panggilan dan 200 SM atau optimasi panggilan tanpa had untuk SMS dan panggilan, bersama 3GB data. Sim kedua pula datang dengan 3GB data, 200 minit panggilan dan 200 SMS. Tiada pilihan optimasi.

 

Digi

iPhone 6s di Digi

Digi juga mengekalkan pelan pascabayar SmartPlan mereka, bersama pembelian iPhone 6s dan 6s Plus. SmartPlan ini seterusnya boleh dipilih antara High Data yang memberikan lebih data, atau High Voice yang memberi lebih minit panggilan dan SMS.

Digi menawarkan SmartPlan mereka dengan komitmen bulanan dari serendah RM50, diikuti RM78, RM98, RM148 dan RM238 sebulan. Untuk SmartPlan High Voice, pelanggan boleh menikmati panggilan dan SMS tanpa had bermula dari SmartPlan 98 dan ke atas. Sebagai promosi tambahan, SmartPlan 78 dan ke atas bagi High Voice dan High Data, akan menerima tambahan data 2GB setiap bulan, selama 12 bulan. Data tambahan ini tidak dimasukkan di dalam jadual di atas.

Digi masih mengenakan bayaran pendahuluan untuk pendaftaran Smartplan, tetapi ia boleh dikecualikan jika pelanggan mendaftar ansuran EPP 0% faedah dan membayarnya dengan kad kredit. Semua Smartplan mempunyai masa kontrak selama 24 bulan, kecuali SmartPlan 50 yang hanya datang dengan kontrak 12 bulan, serta tiada bayaran pendahuluan diperlukan.

 

Maxis

iPhone 6s di Maxis

Maxis kali ini menawarkan pelan paling banyak untuk pembelian iPhone 6s dan 6s Plus. Selain pelan MaxisONE yang datang dengan panggilan dan SMS tanpa had, Maxis juga masih menyediakan pelan khas untuk iPhone, iaitu pelan iValue. Tetapi Maxis nampaknya tidak menyenaraikan iPhone 6s dan 6s Plus, di dalam program Maxis Zerolution lagi.

Bagi pelan MaxisONE, hanya terdapat kontrak 24 bulan bersama tiga jenis pelan, iaitu MaxisONE Plan 128 dengan 3GB data, MaxisONE Plan 158 dengan 5GB data, serta MaxisONE Plan 188 bersama 7GB data. MaxisONE Plan 188 datang dengan 1GB Data percuma, selama 6 bulan. Kesemua pelan MaxisONE memerlukan wang pendahuluan RM512, serta harga peranti yang sama, tidak mengira komitmen bulanan. Maxis juga sedang mengadakan promosi data tambahan 1GB percuma selama 4 bulan, untuk penggunaan rangkaian 4G LTE sahaja. Khas untuk pelan MaxisONE sahaja. Maklumat lanjut di sini.

Pelan iValue memberi pilihan jika pelanggan tidak memerlukan panggilan dan SMS tanpa had. Ia ditawarkan dalam dua jenis kontrak, 12 bulan dan 24 bulan. Tetapi pelan termurah iValue Simple hanya datang dengan kontrak 12 bulan. Kesemua pelan iValue ini memerlukan bayaran pendahuluan.

 

U Mobile

iPhone 6s di U Mobile

Ini adalah kali pertama U Mobile menyertai jualan hari pertama iPhone. U Mobile menawarkan pelan terendah untuk iPhone 6s dan 6s Plus kali ini, melalui i40 dengan komitmen RM40 sebulan. Tiga lagi pelan lain i60, i90 dan i130 yang baru menerima tambahan kuota data iaitu 5GB untuk i60. 7GB untuk i90 dan 10GB untuk i130. Data ini tiada tempoh atau had, boleh digunakan bila-bila masa. Pelan i90 dan i130 juga datang dengan panggilan tanpa had.

Paling menarik, U Mobile tidak mengehadkan pembelian iPhone 6s dan 6s Plus untuk pelanggan pascabayar sahaja. Ia turut boleh dibeli oleh pelanggan prabayar, dengan pelan yang sama seperti pascabayar. Kedua-dua pascabayar dan prabayar perlu membayar wang pendahuluan, tetapi prabayar perlu menambah nilai lagi sebanyak RM159. Jika kiraan penuh dibuat, harga iphone 6s bersama pelan U Mobile serta wang pendahuluan, masih lebih rendah dari harga membeli telefon sahaja. Kira-kira penuh boleh dirujuk di sini. Ingat, prabayar tiada kontrak.

Untuk pascabayar, walaupun ia kelihatan seperti kontrak 24 bulan, tetapi pengguna tidak perlu membayar penalti jika mahu memberhentikan langganan pelan. Apa yang perlu, ialah membayar harga subsidi telefon sahaja, mengikut baki bulanan yang tinggal.

U Mobile juga menyediakan bayaran ansuran yang dipanggil Flexi U Microcredit. Ia memberi pelanggan pilihan untuk membayar sebanyak tunai yang mahu, dan selebihnya dibayar secara ansuran selama 12, 24, 30 atau 36 bulan. Tidak wajib ada kad kredit, kerana ansuran boleh juga dibayar secara tunai. U Mobile juga menerima tukar beli telefon lama kepada iPhone 6s dan 6s Plus, yang boleh dirujuk di sini.

 

Kesimpulan

Pastikan anda memilih pelan terbaik berdasarkan keperluan penggunaan, bukan semata-mata harga telefon terendah. Kerana anda mungkin membayar lebih dari yang sepatutnya, jika mengambil pelan dengan kuota data, minit panggilan dan SMS berlebihan.

Selain itu, kos bulanan bil bukanlah menceritakan segalanya. Kualiti dan liputan rangkaian perlu diambil berat juga. Kebanyakan pelan akan mengenakan bayaran denda jika anda menamatkan kontrak sebelum cukup 12 atau 24 bulan. Jadi lebih baik anda melanggan dengan telko yang anda selesa bersamanya, untuk 12 atau 24 bulan akan datang.

Comments

Trackbacks

  1. […] Untuk membandingkan semua pelan telko iPhone 6s, rujuk artikel kami bertajuk Perbandingan Harga Tawaran telko bagi iPhone 6s dan 6s Plus. […]

  2. […] Untuk maklumat lanjut tentang harga iPhone 6s di telko, beserta kontrak dan pelan, sila rujuk artikel kami bertajuk Perbandingan Harga Tawaran telko bagi iPhone 6s dan 6s Plus. […]

Apa komen anda?