Maxis buka jualan OnePlus 2 tanpa perlu mendaftar pelan

Share Button

OnePlus Malaysia hari ini mengumumkan, telefon pintar terbaru mereka, OnePlus 2 kini boleh dibeli terus dari Maxis tanpa mendaftar pelan atau kontrak. Walaupun ia telah mula dijual pada 22 September, Maxis sebelum ini hanya menjual OnePlus 2 bersama pelan sahaja.

Tetapi harus diambil perhatian, semua pembelian OnePlus 2 di Malaysia, hanya boleh dilakukan melalui jemputan sahaja. OnePlus mengekalkan cara membeli peranti mereka, khusus melalui jemputan. Untuk mendapatkan jemputan, ia boleh dimiliki melalui beberapa cara seperti pendaftaran minat, ataupun berjalan-jalan di Forum, Facebook dan Twitter OnePlus Malaysia menunggu tawaran terbuka.

Pelan Maxis Zerolution untuk OnePlus 2

OnePlus 2 dijual di Malaysia pada harga RM1,678 tanpa GST. Apabila dicampur 6% GST, ia menjadi RM1,788. Untuk harga ini, pembeli akan mendapat OnePlus 2 dengan storan 64GB.

Pengumuman ini dibuat menerusi Forum Oneplus, oleh Adrian Lee selaku Pengurus OnePlus Asia Tenggara. Dari balasan ahli forum di situ, terdapat beberapa pembeli yang berhadapan masalah untuk membeli peranti sahaja, tanpa pelan di Maxis. Tetapi ia kelihatan telah diselesaikan. Lebih menarik, ada yang turut membeli StyleSwap cover, iaitu penutup belakang OnePlus 2 yang boleh ditukar, di Maxis. Ia dijual pada harga RM79 setiap satu.

OnePlus StyleSwap di Maxis

OnePlus 2 adalah telefon pintar yang dilengkapi CPU 64-bit Snapdragon 810 8-teras berkelajuan 1.8GHz, 4GB LPDDR4 RAM, 64GB storan dalaman, 5.5-inci skrin IPS HD Penuh, 13MP kamera belakang dengan auto-fokus lazer, 5MP kamera depan dan bateri 3,300mAh.

OnePlus 2 juga dilengkapi pengimbas capjari di butang Home, dan menggunakan USB jenis-C terbaru. Ia juga memiliki rupa luaran premium dengan kerangka besi, serta butang khas notifikasi di sisi. OnePlus 2 mempunyai dwi-slot kad sim yang menyokong rangkaian 4G LTE, tetapi tanpa slot kad mikrosD. Ia menjalankan sistem operasi Oxygen OS, yang berasaskan Android 5.0 Lollipop.

Untuk mengenali OnePlus 2 dengan lebih lanjut, saksikan test produk kami menerusi Youtube di bawah ini.

 

Apa komen anda?