Lenovo YOGA 900 laptop dikuasakan Core i7 Skylake paling nipis

Share Button

Pernahkah anda melihat laptop dilengkapi CPU Intel Core i7 di dalam badan yang sangat nipis, setebal hanya 14.9mm sahaja? Itulah laptop yang baru sahaja Lenovo lancarkan tadi, yang diberi nama YOGA 900.

Sekali imbas, ia kelihatan seperti Laptop YOGA 3 Pro. Tetapi sememangnya ia menggunakan rekabentuk YOGA 3 Pro, dengan sedikit pengubahsuaian. Jika dulu hanya CPU Intel Core M memerlukan sistem penyejukan minima, kini Core i7 generasi ke-6 juga boleh melakukannya.

Lenovo YOGA 900 - nipis ringan berkuasa

Laptop YOGA 900 dikuasakan CPU Intel Skylake, kod nama Intel Core generasi ke-6. Ia datang dengan CPU Core i7, dan boleh dimuatkan dengan RAM sehingga 16GB.

Storannya sudah tentu menggunakan SSD dengan kapasiti sehingga 512GB. YOGA 900 turut dilengkapi sistem bunyi bertaraf dunia, pembesar suara stereo JBL dengan Dolby Audio.

Lenovo YOGA 900 - port sisi

YOGA 900 mengekalkan skrin sentuh13-inci, beresolusi QuadHD+ (3200×1800). Baterinya dijangka mampu bertahan sehingga 9 jam lamanya. Paling utama, ia menjalankan sistem operasi Windows 10, yang memudahkan penggunaan semasa mengubah mod seperti mod laptop, ke tablet, atau mod khemah.

Perkara paling menawan pada YOGA 900 adalah engselnya, yang diilhamkan dari tali jam tangan. Engsel ini boleh digerakkan ke pelbagai sudut, untuk mengubah ke pelbagai mod berbeza.

Lenovo YOGA 900 - engsel seperti jamtangan

Lenovo YOGA 900 yang dilancarkan di San Francisco tadi, mula dijual di Amerika Syarikat pada hari ini juga. Terdapat 3 warna disediakan iaitu Clementine Orange, Platinum Silver dan Champagne Gold.

Harga laptop Lenovo YOGA 900 yang dijual di Amerika Syarikat adalah seperti berikut:

  • YOGA 900 Core i7-6500U, 8GB RAM, 256GB SSD – USD1,299 (~RM5,573)
  • YOGA 900 Core i7-6500U, 8GB RAM, 512GB SSD – USD1,429 (~RM6,131)
  • YOGA 900 Core i7-6500U, 16GB RAM, 512GB SSD – USD1,499 (~RM6,431)

 

Lenovo YOGA 900 mod Laptop Lenovo YOGA 900 mod Tablet Lenovo YOGA 900 mod Khemah Lenovo YOGA 900 mod Berdiri

Apa komen anda?