Huawei Mate S akan menyentuh Malaysia minggu depan

Share Button

Huawei Mate S adalah telefon pertama yang dipertontonkan kepada awam, dengan skrin sentuh tekanan, seperti ‘Force Touch’ di iPhone 6s. Manakala iPhone 6s yang dilancarkan kemudian, telahpun dijual di Malaysia.

Tetapi ia akan kekal menjadi telefon pintar Android pertama dengan skrin sentuh tekanan, dengan ketibaannya telah dipastikan. Huawei Malaysia telah mengeluarkan jemputan untuk pelancaran telefon pintar Huawei Mate S, pada hari Selasa depan, 27 Oktober 2015.

Huawei Mate S adalah telefon pintar premium, dengan skrin 5.5-inci HD Penuh. Semasa diperkenalkan di pameran IFA 2015 di Berlin, ia menunjukkan keistimewaan skrin sentuh tekanan, dengan menimbang berat buah oren di atasnya.

Huawei Mate S silver depan belakang sisi

Dari luar, ia kelihatan seperti telefon pintar Honor 7, dengan saiz lebih besar. Badannya diperbuat dari besi sepenuhnya, dengan bahagian belakang sedikit melengkung. Ia mempunyai pengimbas capjari, yang terletak di bawah kamera belakang.

Di dalamnya, Huawei Mate S dikuasakan CPU Kirin 935 8-teras, bersama 3GB RAM. Storannya sebesar 32GB dengan slot mikroSD tersedia untuk storan tambahan. Terdapat juga model dengan storan 64GB dan 128GB, yang dijual di negara terpilih.

Bateri Mate S berkapasiti 2,700mAh, agak kecil untuk skrin sebesar ini. Tetapi ia mengurangkan berat ke 156 gram, dan ketebalan hanya 7.2mm. Ia menyokong dwi-sim 4G LTE, dan menjalankan sistem operasi Android 5.1 Lollipop bersama antaramuka EMUI 3.1. Selain skrin sentuh tekanan, Mate S turut datang dengan ‘knuckle sense 2.0’.

Huawei Mate S Knuckle Sense

Kamera Mate S agak menarik, dengan sensor RGBW 13MP F2.0 di belakang, bersama penstabil imej optikal (OIS) dan dwi-tona LED Flash. Kamera depan pula 8MP F2.4 dan dibantu LED Flash lembut.

Pelancaran Huawei Mate S di Malaysia minggu depan, bagaimanapun tidak akan dihadiri model dengan skrin sentuh tekanan. Berkemungkinan, model 32GB dengan skrin sentuh biasa sahaja diperkenalkan, menjadikan Mate S kelihatan kurang menarik.

Nantikan pelancarannya minggu depan, bersama laporan lintas langsung dari pasukan TheSkop di sana.

 

Trackbacks

  1. […] yang dimaklumkan sebelum ini, Huawei Malaysia akan melancarkan phablet terbaru mereka, Huawei Mate S di Malaysia esok, 27 […]