Google memacu teknologi dalam pendidikan dengan Education on Air Malaysia

Share Button

Google Malaysia mahu membantu pelajar dan pendidik di Malaysia, dengan penganjuran ‘Education on Air Malaysia‘. Ia adalah persidangan atas talian yang tertumpu kepada pendidikan dan pembelajaran teknologi,

Education on Air Malaysia akan bersiaran pada hari Ahad, 1 November 2015, secara eksklusif melalui Google Hangouts di http://g.co/EduonAir. Persidangan ini akan bermula pada jam 9 pagi sehingga jam 4 petang.

Terdapat 50 penceramah yang akan turut serta, terdiri dari guru-guru, pengetua, pendidik, pegawai kerajaan, peneraju industri, pelajar dan jurulatih. Ia akan dijalankan dalam bahasa Malaysia, Cina, Tamil dan Inggeris.

Barisan penceramah utama Google Education on Air Malaysia nanti adalah:

● Sajith Sivanandan, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina & Pasaran Baru
● YB Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan
● Malek Ali, Pengasas BFM Radio
● Wong Shee Fatt & Shin Yee Tan, Guru Besar & Guru di SJK (C) Choong Wen
● Sachie Amira & Choo Hao Ren, Artis Youtube
● Alina Amir, Panel (moderator)
● Kim Say Chun, Pelajar Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Malaysia

Google Education on Air Malaysia - YB Kamalanathan

Acara di alam maya ini direka untuk membantu guru di Malaysia memahami dan menggunakan teknologi dalam pendidikan dengan lebih baik. Google juga mahu meningkatkan kesedaran bagaimana pendidikan dengan teknologi membantu guru mengajar dengan lebih baik.

Persidangan ini juga dibuat secara interaktif, dengan maklumbalas dua hala. Penonton boleh terus bertanyakan soalan, dan dijawab sendiri oleh penceramah atau pihak Google for Education semasa atau selepas persidangan berakhir.

Bagi yang berminat, adalah sangat digalakkan untuk mendaftar, kerana mereka akan menerima pautan rakaman penuh persidangan ini. Peserta berdaftar juga akan menerima sijil penyertaan melalui kod unik.

Untuk maklumat lanjut dan mendaftar, layari lamanweb Google Education on Air Malaysia 2015.

Google Education on Air Malaysia - Pelajar dengan laptop

Apa komen anda?