Cadangan PIKOM berkaitan ICT untuk Belanjawan 2016

Share Button

Belanjawan 2016 akan dibentangkan di Parlimen Malaysia pada 23 Oktober 2015, tidak sampai seminggu dari sekarang. Sebagai suara utama industri ICT di Malaysia, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) telah menghantar cadangan kepada kerajaan Malaysia berkaitan bajet ICT untuk tahun akan datang.

Cadangan PIKOM untuk Belanjawan 2016 adalah seperti berikut:

1) Kadar sifar cukai GST untuk produk dan servis ICT

Kebanyakan produk ICT tidak dikenakan cukai sebelum ini. Selepas pengenalan GST pada 1 April lepas, kebanyakan harga komputer dan barangan berkaitan ICT telah meningkat mendadak. Ini menyebabkan pengurangan permintaan sehingga 30%.

Lebih teruk lagi, kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia yang semakin lemah berbanding Dolar US, meningkatkan kos. Perlaksanaan GST juga telah memberi kesan kepada sektor IKS, serta di kawasan kampung & desa, dan juga kepada komuniti yang kurang berkelayakan.

PIKOM mencadangkan produk dan servis ICT dikategorikan berkadar sifar GST, agar ia mampu dimiliki oleh semua penduduk Malaysia.

2) Pengurangan kadar jalurlebar kepada individu, rumah &  perniagaan

PIKOM berterima kasih kepada usaha berterusan kerajaan menjadikan jalurlebar internet lebih mampu milik, tetapi ia tidak mencukupi kerana kos internet di Malaysia masih terlalu tinggi, apabila dibandingkan dengan negara jiran.

Comparison Broadband Malaysia Singapore Thailand

Internet jalur lebar adalah kunci utama industri ICT serta masyarakat keseluruhannya. PIKOM percaya kandungan, data dan transaksi yang lebih mampumilik akan melonjakkan lagi ekonomi tempatan.

PIKOM mencadangkan agar kerajaan bertindak lebih serius untuk menetapkan harga jalurlebar di syarikat telekomunikasi, dan menggalakkan persaingan di antara pemain jalurlebar tempatan, agar jurang digital dapat dirapatkan terutama di kawasan pedalaman dan kurang pembangunan.

3) Penyeragaman kos & ketelusan proses penglibatan dalam tender GLC

PIKOM menerima keperluan mendapatkan pembida yang benar-benar serius sahaja menyertai bidaan tender GLC. Tetapi kos dokumen tender sehingga RM10,000 kelihatan mengurangkan minat atau kemampuan pembida yang mungkin lebih serius, tetapi datang dari syarikat yang kecil.

PIKOM mencadangkan proses tender GLC dipertingkatkan agar lebih seragam, konsisten, telus dan berintegriti dalam proses pemilihan.

4) Merangsang pasaran ICT tempatan

Untuk merangsang pasaran ICT tempatan, PIKOM mencadangkan perkara berikut untuk menyerap impak GST kepada produk dan servis ICT

a. Menggalakkan latihan dan pembangunan peribadi, dengan memberi pengurangan/rebat cukai kepada individu yang mengikuti program berkaitan ICT, serta kepada syarikat.

b. Menggalakkan penggunaan produk dan servis ICT serta jalurlebar, dengan meningkatkan kadar rebat pembelian komputer untuk kegunaan peribadi dari RM3,000 kepada RM4,000. Serta memperkenalkan semula program pengeluaran KWSP, untuk membeli barangan berkaitan ICT, termasuk langganan jalur lebar. Ia perlu disenaraikan dengan jelas dan teliti, untuk mengelakkan penyalahgunaan.

PIKOM belanjawan 2016

Apa komen anda?