Perbandingan Harga Tawaran Telko Bagi Galaxy Note5 Dan S6 Edge+

Share Button

Samsung baru melancarkan telefon pintar utama yang baru di Malaysia, Galaxy Note5 berharga RM2,699 dan Galaxy S6 edge+ berharga RM3,099. Mungkin ia sedikit di luar bajet, jadi anda mula melihat pada pelan kontrak syarikat telekomunikasi (telko) yang menawarkan telefon pada harga lebih murah.

Tetapi anda kurang pasti pelan kontrak mana yang paling sesuai, atau paling berbaloi untuk anda langgan. Di sini, kami sediakan jadual semua pelan telko di Malaysia yang menawarkan Galaxy Note5 dan Galaxy S6 edge+ yang baru.

Buat masa ini, hanya 4 telko menawarkan pelan khas untuk peranti baru Samsung ini, iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. Tetapi U Mobile hanya menawarkan Galaxy Note5 buat masa ini, masih tiada lagi Galaxy S6 edge+. Kesemua pelan ini mempunyai kontrak selama 24 bulan, dengan Digi turut memberi pilihan tambahan kontrak  12 bulan.

Di bawah ini adalah jadual perbandingan harga pembelian Telefon pintar Galaxy Note5 dan S6 edge+, bersama kontrak pelan merangkumi data internet, panggilan, SMS dan beberapa bayaran tambahan yang lain. Klik untuk gambar lebih besar.

 Pelan Kontrak Samsung Galaxy Note5Jadual pelan kontrak telko Galaxy Note5

Pelan Kontrak Samsung Galaxy S6 edge+ Jadual pelan kontrak telko Galaxy S6 edge plus

 

Celcom

Banner Telko Galaxy Note5 - Celcom

Hanya ada dua pelan ditawarkan Celcom, iaitu pelan First Basic dengan komitmen RM85 sebulan, yang menawarkan optimasi data 5GB, 100minit panggilan dan 100 SMS, atau optimasi panggilan 700 minit, 700 SMS dan 2GB data. Manakala pelan kedua ialah FIRST Elite yang memberi 2 kad sim, dengan kad sim pertama dilengkapi 5GB data dan panggilan serta SMS tanpa had, dan kad sim kedua pula datang dengan 3GB data, 200 minit panggilan dan 200 SMS. Celcom baru membuat sedikit perubahan pada pelan FIRST, dengan memberi lebih data dan panggilan dari sebelum ini.

 

Digi

Banner Telko Galaxy Note5 - Digi

Digi menawarkan pilihan paling banyak, dari serendah RM78 sebulan, sehingga RM238 sebulan dengan Digi Smartplan. Smartplan ini juga datang dengan dua pilihan, High Voice untuk lebih kuota panggilan, atau High Data untuk lebih kuota internet. Sebagai promosi tambahan, semua Smartplan menerima tambahan data 1GB setiap bulan, selama 6 bulan. Data tambahan ini tidak dimasukkan di dalam jadual di atas.

Digi masih mengenakan bayaran pendahuluan untuk pendaftaran Smartplan, tetapi ia boleh dikecualikan jika pelanggan mendaftar ansuran EPP 0% faedah dan membayarnya dengan kad kredit. Semua Smartplan mempunyai masa kontrak selama 24 bulan, kecuali Smartplan 78 yang turut diberi pilihan kontrak 12 bulan.

 

Maxis

Banner Telko Galaxy Note5 - Maxis

Maxis yang baru melancarkan program Zerolution, telah memasukkan Galaxy Note5 & S6 edge+ ke dalam program ini. Tetapi ia hanya ditawarkan bersama pelan MaxisONE, yang mempunyai panggilan dan SMS tanpa had, dari serendah RM98 sebulan. Ia mungkin sangat menarik untuk sesetengah orang, tapi bagi pengguna data tegar, ianya kurang mencukupi dan agak mahal.

Harga telefon yang ditawarkan sama sahaja untuk semua pelan MaxisONE. Khas untuk pelan MaxisONE 188, Maxis memberikan tambahan data 1GB dari kuota sedia ada, tetapi selama 6 bulan sahaja.

Pengiraan yang dibuat di jadual di atas, adalah berdasarkan kontrak 24 bulan tanpa menyertai program Zerolution. Ianya dikira mengikut bayaran ansuran bulanan sebanyak RM93 untuk Note5 dan RM111 untuk S6 edge+.

Tetapi jika anda berminat untuk bertukar telefon selepas 12 bulan, contohnya apabila Galaxy Note6 dilancarkan tahun depan, anda boleh menyertai program Zerolution ini, dengan tambahan RM30 sebulan. Dengan Zerolution, anda boleh bertukar ke telefon baru selepas 12 bulan, tanpa dikenakan denda penalti.

Pilih pelan MaxisONE, pilih telefon, dan bayar harga telefon mengikut ansuran bulanan 24 bulan. Selepas 12 bulan, pergi ke Maxis bersama telefon yang berdaftar dengan Zerolution, dan tukar ke telefon baru mengikut harga ansuran baru. Selepas 12 bulan, telefon baru ini menjadi milik anda sepenuhnya. Pastikan telefon yang diserahkan berada di dalam keadaan baik. Digalakkan mengambil insuran dengan bayaran tambahan RM15 sebulan, sebagai jaminan dari sebarang masalah pada telefon kelak.

 

U Mobile

Banner Telko Galaxy Note5 - U Mobile

Buat masa ini, U Mobile hanya menawarkan Galaxy Note5 dengan pelan Ultimate Device mereka. Ia ditawarkan dengan komitmen dari RM65 sebulan, sehingga RM135 sebulan. Pelan ini lebih memfokuskan kepada data, dengan panggilan percuma diselitkan bersama.

Walaupun tiada panggilan tanpa had, pelan ini menawarkan kadar panggilan terendah, dari 10sen seminit. Tetapi sedikit mengecewakan, kerana U Mobile tidak menawarkan pelan lain, seperti yang terbaru pelan Hero P70. U Mobile masih mengenakan bayaran pendahuluan, tetapi ia boleh dikecualikan jika mendaftar bayaran bil bulanan auto debit menggunakan kad kredit.

 

Kesimpulan

Pastikan anda memilih pelan terbaik berdasarkan keperluan penggunaan, bukan semata-mata harga telefon terendah. Kerana anda mungkin membayar lebih dari yang sepatutnya, jika mengambil pelan dengan kuota berlebihan.

Selain itu, kos bulanan bil bukanlah menceritakan segalanya. Kualiti dan liputan rangkaian perlu diambil berat juga. Kebanyakan pelan akan mengenakan bayaran denda jika anda menamatkan kontrak sebelum cukup 24 bulan. Jadi lebih baik anda melanggan dengan telko yang anda selesa bersamanya untuk 24 bulan akan datang.

Apa komen anda?