Miss A Suzy umum kedatangan Lenovo PHAB Plus ke Malaysia

Share Button

Segar dari Berlin, Lenovo kelihatan akan memperkenalkan peranti yang diumumkan di IFA 2015, iaitu Lenovo PHAB Plus ke Malaysia tidak lama lagi. PHAB mendapat nama hasil gabungan Phone+Tablet = PHAB, menjelaskan saiznya yang besar seakan tablet, tetapi mampu berfungsi seperti telefon.

Lenovo Malaysia mengumumkan pelancaran Lenovo PHAB Plus ke Malaysia, pada 21 September 2015. Untuk menarik lebih minat, Lenovo Malaysia telah membuka laman tempahan Lenovo PHAB Plus di Facebook Lenovo Malaysia, yang menampilkan Suzy dari kumpulan k-pop Miss A sebagai duta produk.

Lenovo PHAB Plus - depan belakang

Tempahan awal ini dibuka dari 14 September sehingga 27 September 2015. Pembeli yang membuat tempahan awal Lenovo PHAB Plus, akan menerima baucer diskaun Superdry bernilai RM100, muat turun 100 lagu bernilai RM380, dan langganan e-majalah selama 12 bulan bernilai RM120. Bagaimanapun, tawaran ini hanya untuk 100 tempahan terawal sahaja. Untuk maklumat lanjut, layari laman tempahan Lenovo PHAB Plus.

Lenovo PHAB Plus adalah tablet dengan skrin IPS HD Penuh sebesar 6.8-inci. Badannya diperbuat dari besi unibodi, dengat berat hanya 229 gram serta ketebalan 7.6mm sahaja.

Lenovo PHAB Plus - depan belakang tegak

Di dalamnya, ia dikuasakan CPU 64-bit Qualcomm Snapdragon 615 8-teras berkelajuan 1.5GHz, yang dipadankan dengan 2GB RAM LPDDR3. Storan dalamannya sebesar 32GB, dan boleh ditambah melalui kad mikroSD.

Kamera belakang PHAB Plus mempunyai resolusi 13MP dengan autofokus serta LED Flash. Manakala kamera depan hanyalah 5MP. Phab Plus mempunyai kapasiti bateri 3,500mAh yang dikatakan boleh bertahan selama 24 jam dengan penggunaan biasa.

Lenovo PHAB Plus - one hand operation

Lenovo PHAB Plus menyokong rangkaian 4G LTE pada kedua-dua slot simnya. Slot pertama menyokong kad sim bersaiz mikro, manakala slot kedua berkongsi antara kad sim bersaiz nano dan kad memori mikroSD. Phab Plus menjalankan sistem operasi Android 5.0 Lollipop dengan antaramuka buatan Lenovo sendiri. Antaramuka ini dilengkapi mod satu tangan, untuk penggunaan yang lebih mudah.

Untuk sistem bunyi, Lenovo melengkapkan PHAB Plus dengan sistem bunyi keliling terbaru, Dolby Atmos. Bunyi ini dikeluarkan melalui pembesar suara dengan ‘Sound Chamber’ 1.0 cc ataupun menerusi port audio 3.5mm.

Harga Lenovo PHAB Plus Malaysia

Lenovo PHAB Plus yang telah dibuka tempahan sekarang, dijual di Malaysia pada harga RM1,199 termasuk GST. Dua warna disediakan untuk dipilih: Gunmetal Grey atau Honey Gold. Untuk maklumat lanjut tentang Lenovo PHAB Plus dan cara tempahannya, layari laman tempahan Lenovo PHAB Plus.

 

Apa komen anda?