KartuAs 2-in-1 beri kadar rendah tempatan di Indonesia & Malaysia

Share Button

Telpon ke Indonesia bisa jadi lebih murah dan gratis, dengan pengumuman kerjasama U Mobile dan Telin Malaysia, anak syarikat PT Telkom Indonesia. Kerjasama ini menyaksikan kelahiran pelan prabayar yang diberi nama ‘KartuAs 2 in 1’.

Pelanggan KartuAs 2 in 1 boleh menikmati kadar panggilan IDD ke Indonesia lebih rendah, kerana pelan ini memiliki dua nombor telefon, satu nombor Malaysia dan satu nombor Indonesia. Pengguna boleh bertukar ke nombor tempatan bila-bila masa untuk mengelakkan caj perayauan. Malah, pemanggil dari Indonesia boleh menikmati kadar panggilan tempatan, kerana membuat panggilan ke nombor Indonesia.

Telin Malaysia adalah MVNO ketiga di bawah U Mobile. Pelancaran pek baru KartuAs 2 in 1 ini disempurnakan oleh Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said Keruak bersama Duta Indonesia ke Malaysia, Yang Berbahagia Herman Prayitno.

Pelancaran KartuAs 2in1 Telin Malaysia

Pek permulaan KartuAs 2in 1 dijual pada harga RM10.60 termasuk GST, dan ia datang siap dengan kredit RM5 serta IDR2,000 untuk setiap nombor. Selepas diaktifkan, pengguna akan menerima 5 minit panggilan IDD ke Indonesia percuma. Pengguna juga akan menerima bonus RM2 untuk setiap tambah nilai RM20, RM3 untuk tambah nilai RM30, dan RM5 untuk tambah nilai RM50.

Panggilan dalam Malaysia dicaj 10 sen setiap 30 saat. Untuk panggilan ke talian Indonesia, ia dicaj 9 sen setiap 30 saat ke talian Telkomsel, dan 11 sen setiap 30 saat untuk nombor selain Telkomsel, samada talian mudahalih atau talian tetap.

SMS di dalam Malaysia pula dicaj 5 sen ke talian U Mobile/KartuAs dan 10 sen ke talian lain. SMS antarabangsa termasuk Indonesia pula, dicaj 12 sen setiap satu.

KartuAs juga menyediakan pelan data, dari serendah RM5 sehari untuk 150MB, sehingga RM27 sebulan untuk 1GB. Jika pelan data tidak diaktifkan, pengguna KartuAs akan dicaj 10 sen setiap 10kb, yang membawa kepada RM10 untuk setiap 1MB.

Pastinya ini memberi lebih tambah nilai kepada pengguna yang sering berada di Malaysia dan Indonesia, ataupun yang mempunyai keluarga di seberang. Untuk maklumat lanjut, layari lamanweb KartuAs atau pergi ke Facebook KartuAs Malaysia.

Kehebatan KartuAs 2 in 1

Apa komen anda?