iPhone 6s dan 6s Plus mengesahkan kehadiran di Malaysia

Share Button

Apple baru melancarkan iPhone 6s dan akan mula menjualnya di beberapa negara terpilih, pada Jumaat ini 29 September 2015. Seperti biasa, nama Malaysia tidak terpapar dalam senarai pertama penjualan iPhone 6s ini. Tetapi usah khuatir, ia mungkin tidak mengambil masa yang lama.

Ini kerana iPhone 6s dan 6s Plus telah dikesan di dalam pengkalan data SIRIM. Ini menunjukkan Apple Malaysia telah bersedia untuk membawa ia masuk ke Malaysia. Cuma bilakah waktunya, masih kekal misteri. Menurut pengkalan data SIRIM ini, Malaysia akan menerima model A1687 dan A1688, yang memiliki pelbagai band LTE di dalam FDD dan TDD.

Rangkaian iPhone 6s dan 6s Plus

Selain dari dua iPhone ini, Apple TV yang baru bersama alat kawalan jauh Bluetooth juga dikesan dengan nombor model A1625. Turut sama muncul dalam pengkalan data ini ialah iPad mini 4 dengan nombor model A1538 (WiFi) dan A1550 (Wifi & Selular). iPad Pro yang paling disebut ramai masih tidak kelihatan di sini.

Telefon pintar Apple iPhone 6s dan 6s Plus yang baru ini, mengekalkan 3 warna sedia ada pada iPhone 6, dengan tambahan satu warna baru Emas Ros. Ia juga menggunakan bahan Aluminium 7000 yang lebih baik, dengan skrinnya ditambah fungsi sentuhan 3D (3D Touch).

Di dalamnya, ia dikuasakan CPU A9 yang baru bersama 2GB RAM. Untuk kamera, ia dinaik taraf setelah sekian lama sejak iPhone 4S, ke resolusi 12MP. Kamera depannya pula 5MP, yang boleh dibantu skrin retinanya untuk menghasilkan pencerahan tambahan.

 

Tahun lepas, Malaysia menerima iPhone 6 dalam masa dua bulan selepas pelancaran. Jika anda tidak sabar untuk memilikinya, bolehlah melawat Singapura yang telah pun membuka tempahan dan memulakan penghantaran pertama pada 29 September ini.

Harganya bermula dari SGD1,048 (~RM3,222) untuk iPhone 6s 16GB dan SGD1,218 (~RM3,745) untuk iPhone 6s Plus 16GB. Kenaikan harga ini dibantu oleh kelemahan matawang Ringgit Malaysia. iPhone 6s yang baru ini boleh merakam video 4K, jadi 16GB mungkin bukan pilihan yang tepat.

Apple Watch yang telah sekian lama dilancarkan, masih belum khabar berita tentang ketibaannya di Malaysia. Tetapi jika anda mahukannya, bolehlah melawat negara jiran Thailand dan Singapura, kerana ia telah dijual di sana.

iPhone 6s dalam pengakalan data SIRIM

[SUMBER: 1, 2]

Apa komen anda?