[IFA2015] Sony lancar Xperia Z5 dalam tiga saiz

Share Button

Sony kekal menggunakan platform pameran IFA di Berlin, untuk melancarkan telefon pintar utama mereka. Tahun ini, Sony memperlihatkan Xperia Z5 dalam 3 bentuk: Xperia Z5, Xperia Z5 Compact dan Xperia Z5 Premium.

Sony Xperia Z5 4 warna

Xperia Z5 datang dengan skrin 5.2-inci HD penuh, menggunakan paparan Triluminos. Ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 810 64-bit 8-teras, bersama 3GB RAM dan 32GB storan. Xperia Z5 juga masih mengekalkan slot kad memori, yang menyokong kad mikroSD sehingga 200GB. Baterinya berkapasiti 2900mAh, dan Sony seperti biasa mengatakan ia mampu bertahan untuk 2 hari. Kali ini, ia datang dengan pengecasan pantas.

Sony tidak ketinggalan meletakkan pengimbas cap jari pada Xperia Z5, tetapi ia terletak pada butang kuasa yang terdapat di sebelah tepi kanan telefon. Xperia Z5 juga kekal kalis air dan debu dengan rating IP68, yang boleh dibawa bersama menyelam di kolam renang. Ia menyokong rangkaian 4G dengan hanya satu sim, dan menjalankan sistem operasi Android 5.1 Lollipop.

Sony Xperia Z5 Compact 4 warna

Bagi penggemar telefon bersaiz kecil, pasti tidak sabar menantikan Xperia Z5 Compact. Skrin Triluminosnya bersaiz 4.6-inci dengan resolusi HD (1280×720). Z5 Compact menggunakan CPU yang sama, iaitu Snapdragon 810 tetapi dengan RAM hanya 2GB sahaja. Storan dalamannya pula sebesar 32GB, dengan pilihan menambah storan sehingga 200GB menerusi kad memori mikroSD.

Sama seperti Xperia Z5, Z5 Compact juga dilengkapi pengimbas cap jari di butang kuasa, serta kalis air dan debu dengna rating IP68. Ia juga memiliki hanya satu slot kad sim yang menyokong 4G LTE dan menggunakan Android 5.1 Lollipop sebagai sistem operasi. Baterinya berkapasiti 2700mAh dan lengkap dengan pengecasan pantas.

Sony Xperia Z5 premium 2 warna

Watak utama di majlis pelancaran Sony ialah Xperia Z5 Premium. Ia didatangkan dengan skrin sebesar 5.5-inci, dengan resolusi 4K iaitu 3840×2160 piksel, menjadikan kepadatannya 806 PPI. Baterinya pula berkapasiti 3430mAh, dengan pengecasan pantas Qualcomm Quickcharge 2.0. Ia boleh merakam video 4K, yang boleh ditonton semula di skrin 4K, atau dipancarkan ke TV 4K menerusi MHL.

Selain dari ini, ia berkongsi spesifikasi yang sama dengan Xperia Z5 seperti pengimbas cap jari di butang kuasa serta kalis air IP68. Ia juga menyokong rangkaian 4G LTE menerusi satu slot kad sim, dan menjalankan sistem operasi Android 5.1 Lollipop.

Sony Xperia Z5 Camera hybrid AF

Ketiga-tiga model Xperia Z5 ini mempunyai kamera yang sama. Sony mempertingkat kemampuan kamera belakang dengan menggunakan sensor Exmor RS 23MP, yang dilengkapi autofokus hibrid yang pantas, menggabungkan pengesanan fasa (PDAF) dan kontras (CDAF). Ia boleh merakam video dengan resolusi 4K serta menyokong penstabil imej dan video. Kamera hadapan pula menggunakan sensor Exmor R 5MP dan dilengkapi SteadyShot dan mampu merakam video HD Penuh.

Sony telah membuka tempahan untuk ketiga-tiga model Xperia Z5 ini di United Kingdom, dengan harga GBP549 (~RM3559) untuk Xperia Z5 Compact yang mempunyai 4 warna: kuning, putih, merah jambu dan hitam. Xperia Z5 pula berharga GBP 599 (~RM3882) dengan warna hijau, emas, putih dan hitam. Xperia Z5 pula diletakkan berharga GBP 699 (~RM4531) dengan warna hitam dan krom. Sony turut memberi earfon audio hi-res, MDR-NC750 pada ketiga-tiga model Xperia Z5.

Tiga model Sony Xperia Z5 bersusun COVER

Sony Headphone MDR-NC750 with Xperia Z5

Trackbacks

  1. […] Kameranya turut dipertingkatkan dengan menggunakan sensor Exmor RS 23MP di kamera belakang, beserta autofokus hibrid yang pantas (PDAF+CDAF). Ia turut dilengkapi penstabil imej dan video, serta boleh merakam video UHD 4K. Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi ketiga-tiga Xperia Z5 ini, boleh dirujuk di sini. […]

Apa komen anda?