Digital Campus 2015 disertai tiga negara ASEAN

Share Button

Digital Campus kembali lagi tahun ini, memberi ruang kepada belia mencurahkan idea kreatif dan inovasi mereka, dalam memacu dunia teknologi. Memasuki tahun kedua, Digital Campus 2015 kali ini diuruskan oleh Eduspec Holdings Berhad dan Youth On Unity (Y.O.U), dan disokong oleh CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Digital Campus 2015 - dilancarkan

Pentas Digital Campus kali ini lebih besar, apabila ditampilkan dalam edisi ASEAN. Digital Campus edisi ASEAN kali ini akan menyaksikan peserta melibatkan diri dalam acara coding, robotik dan seni inovasi digital. Acara kali in terbuka kepada tiga negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Tahun ini juga, Digital Campus bekerjasama dengan Grom Social, jaringan sosial digital yang dicipta oleh kanak-kanak untuk kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah. Zach Mark yang berumur 15 tahun, iaitu pengasas dan pencipta “Grom Social” turut akan hadir ke salah satu acara Digital Campus 2015, iaitu WeCode.

Tiga pertandingan Digital Campus 2015

Terdapat tiga acara kemuncak Digital Campus 2015 iaitu pertandingan menulis kod WeCode, pertandingan robotik di International Robothon dan juga pertandingan Seni Digital & Animasi.

Untuk WeCode, terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu untuk pelajar sekolah rendah, di mana mereka perlu menghasilkan ciptaan asli sama ada dalam permainan, hiburan atau program animasi. Kategori kedua pula untuk pelajar sekolah menengah, yang perlu menghasilkan permainan elektronik atau aplikasi hiburan dan pembelajaran.

Digital Campus 2015 - calling robot ironman

Cybersecurity Malaysia dengan kerjasama Kementerian Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut akan memberi taklimat mengenai ‘Cara menjadi warga digital yang unggul’ dalam usaha mempromosikan aspek keselamatan cyber.

Untuk pertandingan Robothon, peserta perlu membina dan memprogram sebuah robot yang boleh melakukan pelbagai tugas. Dengan tema EcoWatch, robot tersebut perlu menunjukkan penyelesaian masalah yang selalu dihadapi oleh jurutera dalam tugasan harian mereka.

Digital Campus 2015 - digital dress

Bagi pertandingan Seni Digital & Animasi pula, pelajar sekolah rendah akan menghasilkan hasil seni digital mereka berdasarkan tema ‘Kehidupan pada abad ke 23’ dan bagi pelajar sekolah menengah, temanya adalah ‘Dunia Fantasi’.

Grom Social dan Facebook adalah tempat untuk pelajar menghantar hasil kerja mereka, yang turut akan dipamerkan di laman sosial tersebut. Pelajar sekolah rendah akan menyerahkan hasil kerja mereka melalui khidmat Grom Social dan pelajar sekolah menengah di Facebook.

Bunting tiga pertandingan Digital Campus 2015 TS

Pertandingan ini akan diadakan di negara masaing-masing sehingga layak ke peringkat akhir. Pertandingan akhir untuk Seni Digital & Animasi akan diadakan di Jakarta, Indonesia, pada 8 November. Ini diikuti dengan pertandingan Robothon, di Ho Chi Minh, Vietnam pada 29 November dan pertandingan WeCode pula di Kuala Lumpur, Malaysia pada 6 Disember 2015.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan, para pelajar boleh mendaftar dan mendapatkan informasi dari lamanweb www.eduplay.com.my atau di www.gromsocial.com/Eduplay dan www.fb.com/eduplayasean.

 

Apa komen anda?