Berbaloikah membeli iPhone 6s atau 6s Plus sekarang?

Share Button

iphone-6S 3

Masih ingat bagaimana terdapat individu yang membeli iPhone 6 pada harga melampau hingga RM8,000 tahun lepas? Orang kata kalau minat, apa-apa pun boleh.

Sekarang tiba pula iPhone 6s dan 6s Plus namun malang Malaysia bukan negara pertama yang menerimanya berbanding negara jiran, Singapura yang lebih untung. Bagi peminat Apple, ketiadaan Malaysia dalam senarai bukanlah penghalang. Ada yang sanggup ke Singapura membelinya.

Bagi yang benar-benar meminati iPhone dan sanggup ke negara jiran, mereka biasanya berpuas hati menikmati kepuasan mendapatkan iPhone tanpa perlu berlagak di Facebook dan sebagainya, gah sebagai pemakai pertama membeli telefon tersebut.

Tetapi sekarang dilihat ramai yang terikut-ikut trend membeli iPhone dan bukannya kerana minat terhadap Apple itu sendiri. Kononnya sanggup mengosongkan poket semata-mata mendapatkan telefon yang dijual pada harga markup melampau.

Terdapat dua jenis individu, satu kononnya mahu menjadi yang pertama dan satu lagi mengikut trend katanya. Antara keduanya, ramai yang diketahui tidak mempunyai bajet yang banyak untuk mendapatkannya. Ada yang sanggup berhutang untuk merealisasikan kononnya impian menjadi pemakai pertama.

Antara kedua-dua jenis itu pula, ia seakan mempengaruhi orang lain untuk berbuat langkah sama, terlihat-lihat poket dan simpanan dalam bank mahu memperoleh iPhone. Ada juga para pelajar yang masih di bawah tanggungan ibu bapa nekad mahu membeli iPhone walaupun tahu ia bukanlah bernilai RM400 atau RM500. Semuanya kerana apa? Mahu menjadi yang pertama.

Jika itu niatnya, hentikan saja. Tidak berbaloi berbuat demikian. Yang mendapat untung hanyalah kedai-kedai yang mengambil kesempatan terhadap kelewatan Malaysia menerima gajet terbabit dengan menjual pada harga markup melampau.

Bayangkan ada kedai online menjual iPhone 6s 16GB warna kelabu pada harga RM3,599 padahal jika ia dibawa masuk ke Malaysia pun, harganya kekal RM2,699. Nilai yang membezakannya adalah RM900, terlalu besar dan boleh dijimatkan untuk kegunaan lain. Lagi malang, ada yang membelinya pada harga RM5,000 untuk satu iPhone 6s yang mempunyai spesifikasi sama.

Waktu menunggu pun tidak lama, kurang dari dua minggu sudah boleh mendapatkannya secara rasmi di Malaysia. Lagi murah apabila ia ditawarkan pula dengan pakej telco nanti. Jadi buat apa beli sekarang?

Kalaulah masih degil mahu mendapatkannya, yang untung sebenarnya kedai-kedai yang tersenyum lebar dapat untung atas angin. Berbelanjalah dengan bijak. Pemakai iPhone biasanya orangnya bijak-bijak belaka jadi ikutlah trend tersebut.

Nantikan saja 16 Oktober ini untuk mendapatkan iPhone baru.

Apa komen anda?