ASUS Store mula menjual Zenfone Selfie dan Zenfone 2 Laser

Share Button

ASUS Malaysia telah melancarkan telefon pintar Zenfone Selfie dan juga Zenfone 2 Laser, ketika jelajah pameran ASUS Zensation di Midvalley pada 30 Ogos yang lepas. Kini, kedua-dua telefon ini boleh dibeli dalam talian di ASUS Store.

Apa yang menarik membeli di ASUS Store ialah, tiada caj penghantaran dikenakan untuk pembelian melebihi RM100, serta masa penghantaran di dalam 3 hari bekerja ke seluruh Malaysia. ASUS Store juga menerima bayaran dalam bentuk kad kredit, perbankan online serta tunai semasa penghantaran. ASUS Store boleh diakses di alamat http://store.asus.com/my/

Banner ASUS Zenfone Selfie

Zenfone Selfie boleh dikatakan telefon dengan kamera terhebat dimiliki ASUS kini. Ia mempunyai kamera belakang dan depan yang sama, iaitu 13MP dengan autofokus dan juga dwi-tona LED Flash. Lebih baik lagi, kamera belakangnya mempunyai autofokus laser, untuk fokus sepantas 0.2 saat.

Dalaman Zenfone Selfie berbeza dari Zenfone 2, walaupun kelihatan mempunyai rekaan yang sama . Ia dikuasakan CPU Snapdragon 615 8-teras, 3GB RAM dan 32GB storan. Zenfone Selfie mempunyai dua slot kad sim yang menyokong 4G LTE, dan berasingan dari slot kad memori mikroSD. Skrinnya sebesar 5.5-inci dengan resolusi HD Penuh 1080p, dan diselaputi kaca Corning Gorilla Glass 4.

Bateri Zenfone Selfie berkapasiti 3,000mAh dan boleh ditukar ganti. Tetapi ia tidak mempunyai pengecasan ASUS BoostMaster yang ada pada Zenfone 2. Zenfone Selfie dilengkapi antaramuka ASUS ZenUI yang menjalankan Android 5.0 Lollipop.

3 warna Zenfone Selfie

ASUS Zenfone Selfie dijual pada harga RM1,049 termasuk GST. Terdapat tiga warna Zenfone Selfie yang boleh dipilih iaitu Biru Laut, Merah Jambu dan Putih.

 

Banner ASUS Zenfone 2 Laser

Zenfone 2 Laser pula memiliki rupa luaran yang sama seperti Zenfone 2 biasa, tetapi ditambah fungsi autofokus lazer pada kamera belakang. Ia kekal memiliki kamera belakang 13MP dengan apertur F2.0, serta dwi-tona LED Flash. Kamera depan juga masih sama, dengan resolusi 5MP.

Kuasa dalaman Zenfone 2 Laser juga sedikit berbeza dari Zenfone 2 sedia ada. Ia menggunakan CPU Snapdragon 410 4-teras, 2GB RAM serta 16GB storan dalaman. Storan ini boleh ditambah menggunakan kad mikroSD, yang tidak berkongsi slot dengan dua kad sim. Kedua-dua slot kad sim di Zenfone 2 Laser menyokong rangkaian 4G LTE.

Zenfone 2 Laser mempunyai skrin sebesar 5.5-inci, tetapi pada resolusi HD 720p sahaja. Skrin ini diperteguhkan dengan penggunaan kaca Corning Gorilla Glass 4. Bateri Zenfone 2 Laser berkapasiti 3,000mAh, tanpa fungsi pengecasan pantas ASUS BoostMaster. Zenfone 2 Laser menggunakan sistem operasi Android 5.0 Lollipop bersama antaramuka ASUS ZenUI yang baru.

5 warna Zenfone Laser

Harga jualan Zenfone 2 Laser di ASUS Store ialah RM799 termasuk GST. Lima warna berbeza boleh didapati untuk Zenfone Laser ini iaitu Hitam, Merah, Emas, Perak dan Putih.

Apa komen anda?