5 fungsi baru S-pen di Galaxy Note5

Share Button

Phablet Samsung Galaxy Note, menjadi kegemaran ramai bukan sahaja kerana skrinnya yang besar, tetapi dengan adanya S-pen, stylus yang digunakan untuk menulis, melukis dan melakukan banyak perkara lagi di atas skrin telefon. Pada setiap evolusi Galaxy Note baru, fungsi S-Pen turut bertambah.

S-pen yang baru di Galaxy Note5 menggunakan sistem ala spring untuk disimpan ke dalam telefon. S-pen tidak lagi kelihatan dari belakang. Untuk mengeluarkannya, tekan hujung S-pen dari bawah Note5, dan ia akan melompat keluar. Untuk menyimpan, tekan sehingga ia habis masuk kedalam.

 

Di sini, kami senaraikan 5 fungsi baru S-Pen, yang ada pada Galaxy Note5.

1. Screen Off Memo

Fungsi baru s-pen di Note5 - Screen Off Memo

Ini adalah fungsi terbaru yang paling kami suka. Ia sepatutnya sudah ada sejak lama dulu. Dengan fungsi ini, pengguna boleh terus menulis memo di atas skrin, semasa skrin padam. Hanya tarik keluar S-Pen semasa skrin padam, dan terus menulis di atas skrin Kemudian, tekan Save untuk disimpan.

Secara lalai, fungsi ini dimatikan. Untuk mengaktfikannya, pergi ke Settings > S-Pen, dan aktifkan Screen off memo.

 

2. Tambah aplikasi di Air Command

Fungsi baru s-pen di Note5 - tambah aplikasi air command

Air Command yang terpapar setiap kali S-pen ditarik keluar, kini boleh diubahsuai. Sehingga 3 aplikasi boleh ditetapkan secara manual, di ruangan air command kali ini. Hanya tekan ikon (+) di Air Command untuk menambah aplikasi, atau pergi ke Settings > S-Pen > Air Command untuk mengubah ke aplikasi lain.

 

3. Rakam skrin panjang

Fungsi baru s-pen di Note5 - rakam skrin panjang

Merakam skrin atau screenshot, lebih menarik di Note5 dengan fungsi ini. Tidak lagi perlu menekan butang merakam pada setiap muka, Note5 kini boleh merakam seluruh paparan, contohnya lamanweb yang panjang dengan mudah.

Caranya, pada lamanweb atau aplikasi yang ingin dirakam, keluarkan S-pen dan pilih Screen Write. Skrin akan berkelip menandakan ia telah dirakam. Kemudian akan keluar tetapan di bawah skrin, dan pilih Screen Capture. Ia akan memaparkan laman di bawah dan merakam. Teruskan menekan Capture More untuk merakam skrin ke bawah, sehingga yang diingini. Tekan Done jika selesai, dan Save to Gallery atau berkongsi terus dengan rakan melalui butang Share.

 

4. Tulis atas PDF

Fungsi baru s-pen di Note5 - Tulis Atas PDF

Banyak dokumen dihantar melalui emel di dalam format PDF. Kadang-kadang, ia memerlukan tandatangan, atau ditulis nota dan memerlukan ia dihantar terus pada PDF yang sama. Mungkin leceh melakukannya sebelum ini, tetapi Note5 memudahkannya.

Buka terus PDF di emel atau di dalam simpanan, terus sahaja tandatangan dokumen PDF tersebut, dan tekan Save. Ia sedia untuk dihantar semula melalui emel atau medium komunikasi lain.

 

5. Masuk depan atau belakang, tiada masalah [DILARANG KERAS]

Fungsi baru s-pen di Note5 - simpan s-pen dari mana-mana arah

S-pen pada empat Galaxy Note sebelum ini hanya boleh dimasukkan dari satu arah, kerana ia direka memang sebegitu. Tetapi Note5 yang baru kini menggunakan sistem spring, yang tersimpan sepenuhnya. Secara tidak langsung, ini menjadikan saiznya sama di hujung depan dan belakang. Sekaligus, ia boleh disimpan semula ke dalam Note5, dari mana-mana arah.

Tetapi, terdapat laporan menyatakan, memasukkan S-pen ke dalam Note5 dari belakang, akan merosakkan S-pen. Ia menyebabkan fungsi pengesanan keluar masuk S-pen rosak, menjadikan S-pen tidak berguna. Jadi, adalah dilarang untuk memasukkan S-pen ke dalam Note5 dari belakang.

Apa komen anda?