Zenfone secantik Deluxe, sepantas Laser, bertahan selama Max

Share Button

ASUS India telah mengadakan acara ZenFestival minggu lepas di New Delhi, yang dihadiri lebih 2000 peminat mereka. Pada acara ini, ASUS mengumumkan harga dan tarikh jualan beberapa produk baru seperti ZenFone Selfie, ZenPad 7.0 dan ZenPad 8.0 yang telah diumumkan di Taiwan pada acara Computex yang lalu. Tetapi pengenalan produk baru tidak terhenti setakat ini. ASUS turut melancarkan beberapa lagi telefon pintar iaitu ZenFone 2 Deluxe, ZenFone 2 Laser dan juga ZenFone Max.

 

ZenFone 2 Deluxe

Zenfone 2 Deluxe sebenarnya bukanlah telefon pintar yang serba baru. Ianya adalah Zenfone 2 (ZE551ML) yang mempunyai penutup belakang dengan rekaan polygonal. Dengan perkakas seperti Zenfone 2 sedia ada, sudah pasti ia dikuasakan CPU Intel 64-bit 2.3Ghz bersama 4GB RAM dan sokongan 4G LTE. Ia juga memiliki skrin IPS sebesar 5.5-inci dengan resolusi HD penuh. Selain ini, pengecasan pantas ASUS BoostMaster turut terdapat pada Zenfone 2 Deluxe, bersama antaramuka ZenUI terbaru berasaskan Android 5.0 Lollipop.

 

ZenFone 2 Laser

Zenfone 2 Laser pula, adalah telefon serba baru. Nama laser padanya adalah sempena autofokus lazer yang dilengkapkan pada kamera belakang 13MP F2.0 padanya. Ini menjadikan fokus menjadi sepantas 0.3 saat sahaja. Berbeza dari Zenfone 2 biasa, Zenfone 2 Laser akan menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 64-bit dengan RAM sehingga 3GB. Terdapat beberapa model Zenfone 2 laser ini iaitu dengan skrin 5-inci (ZE500KL), 5.5-inci (ZE550KL) dan 6-inci (ZE601KL). Ia akan datang dengan kaca terbaru, Corning Gorilla Glass 4 beserta resolusi sehingga HD Penuh.

 

ZenFone Max

Telefon yang menjadi fokus utama pada pelancaran di New Delhi ini adalah Zenfone Max. Ianya adalah telefon pintar yang mensasarkan jangka hayat bateri terpanjang, dilengkapi bateri sebesar 5,000mAh. Zenfone Max mempunyai rupa seperti Zenfone 2 biasa, dengan skrin IPS 5.5-inci beresolusi HD 1280×720 sahaja. Skrin ini dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 4. Dalamannya, ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 410 64-bit, yang terletak di kelas CPU rendah. Zenfone 2 Max juga akan dilengkapi 2GB RAM. Untuk kamera pula, ia mempunyai fungsi PixelMaster dengan resolusi 13MP di kamera belakang, bersama auto fokus lazer dan apertur F2.0. Manakala kamera depan pula 5MP. Dengan bateri sebesar ini, dijangkakan Zenfone Max mampu bertahan sehingga 2 hari.

[SUMBER]

Apa komen anda?