Mi Malaysia pamer Mi 4i yang lebih besar

Share Button

Ingatkah anda tentang telefon pintar utama Xiaomi dengan badan plastik polikarbonat, bernama Mi 4i? Keputusan Xiaomi untuk tidak meletakkan slot kad memori mikroSD mengecewakan ramai peminat, apatah lagi storan dalamannya hanyalah 16GB sahaja, tanpa pilihan model storan yang lebih besar. Tapi, ia mungkin akan selesai tidak lama lagi.

Di Facebook Mi Malaysia, Xiaomi meletakkan gambar tentang tetapan telefon pintar Mi 4i, dan bertanyakan perbezaannya. Dari apa yang kami lihat, ia memaparkan storan 32GB. Malah, Xiaomi turut menyatakan ia akan tiba pada 18 Ogos 2015, iaitu esok. Jadi, jika anda bertangguh ingin membeli Mi 4i kerana storan yang kecil, mungkin kedatangan storan 32GB membantu anda membuat keputusan membeli Mi 4i dengan lebih pantas.

Facebook Mi Malaysia Mi 4i 32GB

Mi 4i dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 615 64-bit, 8-teras 1.7GHz dengan 2GB LPDDR3 RAM. Ia menyokong dwi-sim 4G FDD-LTE yang serasi dengan rangkaian Malaysia, serta TDD-LTE yang banyak diguna di China. Mi 4i juga mempunyai sokongan Wifi dengan MIMO penghantaran data tanpa wayar yang sangat pantas.

Mi 4i mempunyai skrin 5-inci IPS beresolusi HD Penuh. Kamera belakangya 13MP F2.0 dengan dwi-tona LED Flash. Kamera hadapannya pula 5.0MP F1.8, untuk selfie lebih cerah. Mi 4i digerakkan Android 5.0 Lollipop dengan antaramuka MiUi versi 6. Baterinya pula berkapasiti 3120mAh.

harga mi4i 16gb dan 32gb

 

Mi 4i dijual di Malaysia dengan storan 16GB berharga RM749 termasuk GST. Manakala di India, Mi 4i 16Gb berharga Rs. 12,999 (~RM815) dan Mi 4i 32GB pula Rs. 14,999 (~RM939). Boleh dijangkakan, Mi 4i 32GB akan dijual di Malaysia, di bawah RM900. Kalau nak beli, siap-siap laa beratur di website Mi Malaysia sebelum jam 12 tengahari esok.

KEMASKINI: Facebook Mi Malaysia mengumumkan harga Mi4i 32GB pada RM899, termasuk GST dengan pilihan warna kelabu gelap sahaja. Manakala Mi4i 16GB boleh diperolehi dalam warna putih dan kelabu gelap.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Mi 4i, sila baca laporan Test Produk Mi 4i kami. Pendek kata, Mi 4i bukanlah produk terbaik Xiaomi walaupun harga dan perkakasnya atas kertas, kelihatan sangat berbaloi.

 

Apa komen anda?