Mi 4c mirip seperti Mi 4i muncul

Share Button

Mi 4i yang diperkenalkan pada pertengahan tahun ini, diumumkan Hugo sebagai peranti kelas utama. Tetapi ia kelihatan jauh dari diperkatakan, menerusi pelbagai percubaan kami, yang dilaporkan di ruangan Test Produk – Xiaomi Mi 4i. Rekaannya yang kompak dan nipis memang sangat menarik, tetapi prestasinya sedikit menggusarkan.

Terkini, dikhabarkan Xiaomi cuba membaiki permasalahan ini, dengan memperkenalkan model baru yang dikenali sebagai Mi 4c. Ia telah muncul di pensijilan TEENA (SIRIM versi China), dengan rupa yang sama seperti Mi 4i tetapi menggunakan CPU Snapdragon 808, seperti di LG G4.

Mi 4i dijual di peringkat antarabangsa, dan tidak dijual di China. Ia pertama kali dilancarkan di India, sehingga menerima jolokan ‘Mi 4 India’. Mungkin juga, Mi 4c ini merujuk kepada ‘Mi 4 China’. Selain dari TEENA, berita tentang Mi 4c ini turut disahkan dengan penemuan di laman ujian Geekbench dan juga Antutu.

Antutu Xiaomi Mi 4c

Dari berita yang dikumpulkan ini, dapat dilihat Mi 4c mengekalkan skrin 5-inci HD Penuh, tetapi menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 808. Ia kekal dengan 2GB RAM serta storan bermula dari 16GB. Kameranya juga masih sama, dengan 13MP di belakang dan 5MP di depan. Sebagai peranti baru, ia mungkin dilengkapi MIUI 7 yang dijalankan di atas Android 5.1 Lollipop.

Satu lagi perkara berbeza di Mi 4c ini adalah, TEENA melaporkan ia memiliki pemancar infra merah, yang boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh. Pemancar infra merah ini turut terbina di dalam Redmi Note 2 yang baru diumumkan awal bulan ini.

Mi 4c mungkin jalan penyelesaian dari masalah yang ada pada Mi 4i. Harganya juga mungkin tidak jauh berbeza dari Mi 4i, yang kini dijual di Malaysia pada harga RM749 untuk storan 16GB, dan RM899 untuk storan 32GB.

harga mi4i 16gb dan 32gb

[SUMBER: 1, 2]

Apa komen anda?