LINE boleh berfungsi terus dari pelayar Chrome

Share Button

LINE Corporation, pengeluar permesejan popular LINE, mengumumkan pelancaran LINE untuk Google Chrome, sambungan percuma untuk pelayar bagi aplikasi LINE. Sambungan di pelayar Chrome ini, boleh digunakan di OS Windows, Mac dan juga Linux.

Tidak seperti versi PC LINE untuk Windows dan Mac OS X sebelum ini, pengguna versi sambungan Google Chrome hanya perlu memasang perisian ini sekali sahaja, untuk kegunaan di mana-mana PC melalui pelayar Chrome, yang didaftar masuk melalui akaun Google pengguna.

LINE untuk Chrome OS - Chat

Sebagai tambahan kepada fungsi chat yang utama di LINE, sambungan LINE ini menawarkan pelbagai fungsi kepada pengguna PC, seperti kebolehan merakam skrin. Ia juga memberikan pengguna cara yang pantas dan efisyen untuk memuat naik fail sehingga 1GB besarnya. Terdapat juga fungsi Memo, yang membenarkan pengguna menulis sendiri nota dan menyusun perkataan & gambar. Memo boleh digunakan di pelbagai peranti yang mempunyai perisian LINE, yang boleh diselaraskan di semua peranti.

LINE di Google Chrome tidak mempunyai fungsi daftar masuk automatik, untuk menjaga keselamatan pengguna. Pengguna juga perlu mengesahkan identiti mereka melalui aplikasi mudah alih LINE di peranti pintar terlebih dahulu. Fungsi seperti panggilan suara, panggilan video dan Timeline, tidak ditawarkan di dalam LINE versi Google Chrome. Jika pengguna mahukan fungsi tersebut, digalakkan untuk menggunakan LINE versi PC.

LINE untuk Chrome OS - Chat Memo

Dengan pelancaran LINE untuk Google Chrome, ia memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna. Selain versi telefon pintar dan peranti, terdapat juga LINE untuk PC (Windows & Mac), iPad, serta peranti boleh pakai. Pengguna boleh menggunakan LINE di lebih dari satu peranti, memberikan keselesaan dan lebih banyak cara kepada pengguna LINE.

Pengguna boleh memasang LINE untuk Google Chrome, melalui Chrome Web Store di sini.

Apa komen anda?