Evolusi Zenfone 2 hasilkan Zenfone 2 Laser dan Zenfone 2 Deluxe

Share Button

Jelajah pameran ASUS Zensation yang diadakan di MidValley Megamall, akan berakhir pada hari ini. Jika di hari pertama pameran, ASUS melancarkan tablet Zenpad yang baru. Di hari akhir pameran ini pula, ASUS memperkenalkan beberapa telefon Zenfone yang baru. Di antaranya ialah, dua telefon Zenfone 2 yang diberi nafas baru yang diberi nama Zenfone 2 Laser dan Zenfone 2 Deluxe. Turut sama dilancarkan hari ini ialah Zenfone Selfie.

Zenfone 2 Laser kiri dan Zenfone 2 kanan BELAKANGZenfone 2 laser (kiri) dan Zenfone 2 (kanan)

Keunikan Zenfone 2 Laser sama seperti namanya, iaitu autofokus lazer untuk kamera belakang. Bunyinya macam sama dengan Zenfone Selfie, tetapi Zenfone Laser hanya ada kamera 5MP tanpa autofokus dan tiada LED Flash di depan. Kamera belakang pula 13MP dengan autofokus lazer yang super pantas, serta dwi-tona LED Flash.

Perkakas dalamannya juga lebih rendah dari Zenfone Selfie. Zenfone 2 Laser dikuasakan CPU Qualcom Snapdragon 410 64-bit, dengan 2GB RAM dan 16GB storan sahaja. Ia dilengkapi dua slot kad sim yang menyokong 4G LTE, bersama satu slot kad memori mikroSD yang berasingan. Skrinnya kekal 5.5-inci dengan paparan IPS, tetapi beresolusi HD 720p sahaja. Ia dikuasakan bateri 3,000mAh dan menjalankan sistem operasi Android 5.0 Lollipop bersama antaramuka ASUS ZenUI.

ASUS Zenfone 2 Deluxe biru ilusi

Zenfone 2 kedua yang diperkenalkan hari ini ialah Zenfone 2 Deluxe. Ia adalah versi peningkatan untuk siri Zenfone 2 sedia ada atau sebenarnya, versi terhebat Zenfone 2. Dari hadapan tiada yang berbeza, tetapi Zenfone 2 Deluxe mempunyai kemasan belakang berkilauan yang boleh berubah warna seperti sesumpah. Malah, ia menggunakan CPU yang sama, Intel Atom Z3580 64-bit, tetapi lebih pantas dengan kelajuan 2.3GHz. Paling menarik, storan dalamannya melonjak berganda-ganda ke 128GB.

Perkakas lain di dalam Zenfone 2 Deluxe sama seperti Zenfone 2 ZE551ML yang biasa. Ia dilengkapi 4GB RAM dan slot kad mikroSD untuk storan tambahan, jika storan 128GB masih tidak mencukupi. Skrin IPS 5.5-inci padanya masih kekal dengan resolusi HD Penuh 1080p. Ia menyokong rangkaian 4G LTE CAT6 bersama dua slot kad sim. Zenfone 2 Deluxe mempunyai bateri 3,000mAh bersama pengecas pantas ASUS Boostmaster. Antaramukanya dihiasi oleh ZenUI yang dijalankan di atas Android 5.0 Lollipop.

Kedua-dua Zenfone 2 yang baru ini akan berada di pasaran Malaysia seawal minggu pertama bulan September 2015. Zenfone 2 Laser akan dijual pada harga RM799, manakala Zenfone 2 Deluxe pula berharga RM1,599. Semua harga ini telah termasuk GST.

harga dan spec Zenfone 2 Laser harga dan spec Zenfone 2 Deluxe

Apa komen anda?