Akhirnya OPPO R7 yang asli akan dijual di Malaysia

Share Button

OPPO Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan satu lagi telefon pintar siri R7, iaitu OPPO R7 yang bukan Plus dan juga Lite. Selepas melancarkan OPPO R7 Plus dan R7 Lite di Malaysia pada 7.7 yang lepas, kini R7 tiba di Malaysia bagi peminat yang mahukan telefon pintar berprestasi tinggi, dengan skrin lebih kecil. Bagaimanapun, harganya belum diumumkan, tetapi di antara RM1298 dan RM1998.

OPPO R7 pertama kali diperkenalkan bersama OPPO R7 Plus ketika pelancarannya di China. Ia mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan R7 Plus dalam semua aspek, kecuali skrin lebih kecil bersaiz 5.0-inci HD Penuh. Pendek kata, R7 ialah telefon pintar dengan rupa luaran R7 Lite senipis 6.3mm, tetapi perkakas dalaman berkuasa seperti R7 Plus. OPPO R7 mempunyai badan besi unibodi dengan kaca sisi sedikit lengkung 2.5D di hadapan.

OPPO R7 depan

OPPO R7 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 615 64 bit 8-teras, bersama 3GB RAM. Storannya hanyalah 16GB, tetapi dilengkapi slot kad memori mikroSD untuk storan tambahan. OPPO R7 mempunyai dua slot kad sim, bersaiz mikro dan nano. Slot sim bersaiz nano ini berkongsi tempat dengan kad memori mikroSD. Kedua-dua slot kad sim ini menyokong rangkaian 4G LTE. Bateri pada OPPO R7 hanyalah sebesar 2320 mAh, tetapi ia mempunyai pengecasan pantas VOOC yang tiada pada R7 Lite.

Kamera Oppo R7 dilengkapi pelbagai teknologi hebat. Ia mempunyai sensor CMOS ISOCELL 13MP, dan diperkasa teknologi Flash Shot. Flash Shot membuatkan fokus ketika mengambil gambar sangat pantas, iaitu 0.1 saat sahaja. Kamera Oppo R7 ini juga dilengkapi lensa yang dihasilkan oleh Schneider-Kreuznach, pengeluar lensa profesional yang terkenal dari Jerman. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan sensor 8MP dengan lensa lebar.

OPPO R7 belakang

Harga OPPO R7 ini akan diumumkan oleh OPPO Malaysia pada 11 Ogos 2015, dan mula dijual pada 12 Ogos 2015, sekitar tarikh penjualan pertama OPPO R7 Plus di Malaysia. Harganya dijangkakan di antara R7 Lite dan R7 Plus, iaitu RM1298-RM1998. Harga jualan Oppo R7 di China ialah RMB2499 (~RM1,459).

Tetapi jika ia mengikut paras harga R7 Plus di Malaysia, kami jangkakan OPPO R7 akan berharga sekitar RM1698. Dua warna ditawarkan untuk OPPO R7 ini, iaitu emas dan perak. Sama-sama kita nantikan pengumuman harga OPPO R7 ini kelak.

OPPO R7 bersama keperluan harian

Apa komen anda?