TM Unifi lebih pantas pada harga sama kini boleh dilanggan

Share Button
[Gambar dari SummerAsh]

Perkhidmatan Internet Jalur Lebar Berkelajuan tinggi (HSBB), Unifi yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM), telah diperkenalkan buat pertama kalinya 5 tahun lepas. Tetapi tidak banyak perubahan berlaku kepada pelan jalur lebar rumahnya sehinggalah baru-baru ini, apabila TM kelihatan memperkenalkan pelan jalur lebar yang baru untuk pengguna di rumah.

Dengan pelan baru ini, pengguna di rumah boleh menikmati kelajuan muat turun sehingga 50Mbps, pada harga hanya RM263.94 sebulan (termasuk GST). Harga ini adalah bersamaan dengan pelan VIP 20, yang menawarkan kelajuan muat turun 20Mbps sahaja.

Sahabat dari Lowyat.net (entiti berbeza dengan bangunan Plaza Lowyat) telah mengesahkan pelan baru Unifi, kini boleh dilanggan di semua kawasan yang diliputi Unifi. Terdapat dua pelan baru yang disediakan TM kali ini, iaitu UniFi 30 dengan kelajuan muat turun 30Mbps dan langganan RM210.94 sebulan, serta pelan UniFi 50 berharga RM263.94 sebulan untuk muat turun selaju 50Mbps. Jika diperhatikan, pelan UniFi 30 mempunyai kadar langganan yang sama seperti VIP 10, iaitu RM210.94 sebulan. Tetapi, TM menyediakan pelan Unifi baru ini di dalam pakej berbeza dari pelan VIP sebelum ini.

jadual unifi baru 30mbps 50mbps

Kelajuan muat turun dan muat naik berbeza

Pelan VIP sedia ada iaitu VIP 5, VIP 10 dan VIP 20 mempunyai kelajuan muat turun dan muat naik serupa yang dipanggil jalur lebar simetrik. Jika anda melanggan pelan VIP 10, kelajuan muat turun adalah 10Mbps dan kelajuan muat naik juga 10Mbps.

Tetapi ini berbeza dengan pelan baru 30Mbps dan 50Mbps. Kelajuan muat turun dan muat naiknya berbeza. Situasi ini dipanggil jalur lebar asimetrik. Bagi pelan UniFi 30, ia mempunyai kelajuan muat turun 30Mbps dan muat naik 5Mbps. Manakala UniFi 50 memberi muat turun 50Mbps dan muat naik 10Mbps. Bagi melayari internet, menstrim lagu atau video, lonjakan mendadak muat turun dari 10Mbps ke 30Mbps pasti memberi perbezaan nyata. Malah, kelajuan muat naik yang lebih perlahan tidak banyak memberi kesan kepada penggunaan sebegini.

Tetapi jika anda jenis kaki muat naik fail, seperti video beresolusi terlebih tinggi 4K UHD, ini pasti menjadi gangguan. Sama juga perkaranya jika anda perlu memuat naik fail yang sangat besar atau melakukan pemancaran video dari rumah. Tetapi pengguna di rumah masih tidak perlu khuatir. Walaupun muat turun menjadi 3x lebih pantas, ia tidak akan memakan kuota data anda kerana TM masih memberi kuota internet tanpa had kepada semua pengguna Unifi. Sehinggalah ke suatu masa yang akan diumumkan kelak.

Tiada lagi panggilan percuma

Perbezaan kedua ialah, tiada lagi panggilan percuma ke talian tetap dalam pelan baru ini. Pengguna VIP sedia ada boleh membuat panggilan ke mana-mana talian tetap TM di seluruh Malaysia secara percuma. Manakala panggilan ke talian mudah alih pula dicaj 11sen seminit.

Pada pelan Unifi baru ini, tiada panggilan percuma diberikan. Panggilan ke talian tetap dan mudahalih dicaj sama rata pada 21sen seminit. Jika anda banyak membuat panggilan ke talian tetap, anda boleh melanggan pek suara dengan tambahan RM21.20 sebulan. Ia memberikan 600 minit panggilan ke mana-mana talian tempatan. Jika kuota panggilan 600minit ini habis digunakan, tiada caj dikenakan untuk panggilan ke talian tetap seterusnya, tetapi talian mudahalih dikenakan caj 11sen seminit.

Saluran HyppTV Premium percuma

Semua pengguna Unifi menerima langganan HyppTV secara percuma, tetapi terhad kepada tontonan saluran yang percuma juga. Tetapi bagi pelanggan pelan UniFi 30 dan 50 yang baru, mereka akan menerima saluran premium tambahan yang boleh dipilih antara pek Aneka, Varnam atau Ruby. Ini memberikan pengguna tambahan 9-12 saluran mengikut pilihan pek. Maklumat lanjut berkenaan ketiga-tiga pek ini boleh dirujuk di sini.

Senarai saluran pek HyppTV 2015

Pelan mana patut saya pilih?

Pilihan? Semuanya bergantung kepada keperluan anda. Jika kelajuan muat naik dan panggilan ke talian tetap percuma adalah penting, maka pelan VIP sedia ada patut menjadi pilihan. Tetapi jika anda rasa memadai dengan kelajuan muat naik 5Mbps dan mahukan muat turun super pantas, pelan baru Unifi ini memang sangat menarik.

Panggilan kini dikenakan caj tetapi anda boleh menambahnya dengan bayaran RM21.20 sebulan, yang mana ia turut memberi minit panggilan ke talian mudahalih, sambil mengekalkan panggilan tanpa had ke talian tetap. Sebagai bonus, anda menerima saluran tambahan HyppTV menerusi pilihan pek premium tanpa caj tambahan.

Kedua-dua pelan UniFi 30 dan 50 kini boleh dilanggan menerusi mana-mana cawangan TM Point. Tetapi sila ambil perhatian, langganan baru ini akan mengikat anda kepada kontrak baru selama 24 bulan. Apakah pilihan anda, bertukar ke pelan Unifi baru atau kekal dengan pelan VIP?

[SUMBER]

Apa komen anda?