Realiti Maya kini menjadi nyata di Malaysia bersama Samsung Gear VR

Share Button

Samsung sekali lagi membuktikan dirinya sebagai peneraju dalam dunia teknologi dengan pengenalan Samsung Gear VR (Edisi Innovator untuk S6). Pertama kali diperkenalkan bersama Galaxy Note 4 tahun lepas, kini ia boleh didapati di Malaysia, untuk digunakan bersama Galaxy S6 atau S6 Edge yang dijual berasingan. Samsung Gear VR (Edisi Innovator untuk S6) boleh dibeli di Stor Samsung Experiences di seluruh negara pada harga RM799 (termasuk GST).

Samsung Gear VR memberikan pengalaman paparan ke tahap lebih tinggi. Banyak kandungan seperti permainan dan tayangan maya boleh didapati dari Stor Oculus. Pengguna juga boleh melihat galeri gambar dan video dalam suasana 360-darjah, termasuk persembahan oleh Cirque du Soleil.

Samsung Gear VR Edisi Innovator bersama Galaxy S6 Emas

Gear VR dilengkapi sensor pecutan, girometer dan jarak dan disambung ke Galaxy S6/S6 edge melalui port mikro-USB. Pemakai cermin mata, turut boleh menggunakannya bersama Gear VR. Terdapat butang dail pengubah fokus di atas untuk menyesuaikan dengan pelbagai mata pengguna, tetapi agak terhad.

Samsung Gear VR yang baru ini, lebih kecil 15% berbanding generasi pertama untuk Note 4. Ini menjadikannya lebih ringan dan selesa untuk dipakai. Bagi penggunaan berjangka panjang, terdapat port mikro-USB di bawah, untuk mengecas Gear VR dan Galaxy S6 agar terus bertenaga. Bagi mengelakkan kabus pada lensa, terdapat kipas penyejukan terbina di dalam Gear VR.

Touchpad di kanan Gear VR

Gear VR hanya datang dalam warna putih, bersama tali pengikat kepala elastik. Di sebelah kanan, terdapat touchpad yang boleh digunakan untuk navigasi. Gerakkan jari di touchpad dan ketuk sekali di atasnya untuk membuat pilihan. Terdapat butang BACK di atas touchpad, untuk kembali ke ruang HOME.

Gear VR menggunakan pembesar suara yang terdapat pada Galaxy S6 untuk pengeluaran bunyi, tetapi earfon atau headfon boleh digunakan bersama untuk pengalaman yang lebih baik. Ia juga menjadi lebih menarik untuk digunakan bersama gamepad tanpa wayar.

Pameran Gear VR di Pavilion

Jika anda berminat untuk mencuba sendiri Gear VR ini, Samsung Malaysia kini membuat pameran jelajah di pintu masuk Pavilion Kuala Lumpur bermula hari ini, 10 Julai sehingga hari Ahad 12 Julai 2015, dari jam 12 tengahari sehingga 9 malam. Pengunjung juga berpeluang memenangi tiket wayang melalui cabaran Gear VR yang disediakan. Jelajah ini akan ke Blue Zone, Sunway Pyramid pada 25 dan 26 Julai 2015.

Untuk maklumat lanjut, layari lama produk Gear VR Edisi Innovator untuk S6 di lamanweb Samsung Malaysia.

Trackbacks

  1. […] sejak akhir-akhir ini. Lihat sajalah kelengkapan gogal realiti maya yang telah dipasarkan. Daripada Samsung hinggalah HTC, setiap satu daripada mereka hadir dengan produk yang dikatakan mampu memberikan […]

  2. […] Cuma, harganya agak mahal dengan pilihan yang terhad. Samsung turut tidak ketinggalan mencipta Gear VR Innovator Edition, yang serasi dengan telefon Galaxy S6 sahaja sebelum ini. Kini, Samsung menghasilkan Gear VR lebih […]

Apa komen anda?