Petunjuk awal kedatangan OnePlus 2 dari Maxis

Share Button

OnePlus 2 yang dilancarkan semalam, diumumkan akan mula dijual di Asia Tenggara (termasuk Malaysia) sekitar suku keempat 2015. Ini bermakna, paling cepat pembeli di Malaysia boleh mendapatkannya ialah bulan Oktober nanti. Tetapi, ia mungkin boleh tiba lebih awal dari ini.

Tidak Pernah Setel OnePlus 2

Maxis adalah pengedar tunggal OnePlus One di Malaysia sejak April lepas. Dalam kenyataannya di twitter, Maxis memberitahu telefon pintar OnePlus 2 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Ia juga memaklumkan akan memberitahu cara untuk mendapatkan jemputan eksklusif, iaitu cara unik untuk membeli telefon OnePlus.

Jika anda terlepas berita semalam, OnePlus 2 adalah telefon pintar kedua keluaran OnePlus. Ia dikuasakan CPU Snapdragon 810 v2.1 dengan 4GB RAM LPDDR4. Dua pilihan storan disediakan, 16GB & 64GB tanpa slot mikroSD. OnePlus 2 mempunyai dwi-slot kad sim nano yang menyokong 4G LTE. Skrinnya sebesar 5.5-inci dengan resolusi HD Penuh.

Kamera belakang OnePlus 2 menggunakan sensor 13MP dengan apertur F2.0, penstabil imej optikal (OIS) serta fokus lazer yang pantas. Kamera depan pula 5MP. Baterinya berkapasiti 3300mAh dan dicas melalui port USB jenis-C yang baru. OnePlus datang dengan pengimbas capjari serta butang fizikal kawalan notifikasi.

Rupa luaran OnePlus 2

OnePlus 2 akan mula dijual di Amerika Syarikat, Kanada, India, Eropah & China bermula 11 Ogos 2015. Model 16GB dijual pada harga USD329 (~RM1289) dan 64GB USD389 (~RM1489). Dimaklumkan Asia Tenggara akan menerimanya pada suku keempat 2015. Tetapi diharapkan Maxis boleh menjadikan OnePlus 2 tiba lebih pantas di Malaysia. Persoalan seterusnya, berapakah pula harga OnePlus 2 di Malaysia kelak?

Apa komen anda?