Honor 7 yang lebih hebat dilancar di China

Share Button

Huawei akhirnya melancarkan telefon pintar utama bagi jenama mampumiliknya, iaitu Honor 7 di China semalam. Honor 7 akan menggantikan barisan telefon pintar Honor 6 yang menarik minat ramai. Dengan pelancaran Honor 7, Huawei menjadikan pasaran mampumilik menghampiri kelas premium.

Sekilas pandang dari luar, Honor 7 kelihatan hampir serupa dengan phablet Huawei Ascend Mate 7 yang mempunyai skrin sebesar 6-inci. Honor 7 kini mempunyai badan diperbuat dari aluminium di depan dan belakang, yang menjadikannya lebih tahan lasak dan meningkatkan sistem pembebasan habanya. Honor 7 mempunyai ketebalan 8.5mm dan seberat 157 gram, lebih berat dan tebal dari Honor 6 iaitu 7.5mm tebal dan 130 gram berat.

Honor 7 emas dan hitam

Atas kertas pula, spesifikasi Honor 7 menyerupai telefon pintar Huawei P8 yang baru dilancarkan di Malaysia. Honor 7 mempunyai skrin sebesar 5.2-inci beresolusi HD penuh, dan dikuasakan CPU Kirin 935 64-bit, dengan 4-teras berkelajuan 2.2GHz dan 4 lagi teras 1.5GHz. Ia dipadankan dengan 3GB LPDDR3 RAM dan ditawarkan dalam dua kapasti storan, 16GB dan 64GB. Honor 7 menyokong dwi-sim 4G LTE, dengan slot kedua berkongsi dengan kad memori mikro-SD.

Honor 7 dwi-sim kad memori

Satu perkara yang kelihatan hebat pada Honor 7 ialah pada kameranya. Ia mempunyai kamera belakang 20MP dengan Apertur F2.0, menggunakan sensor Sony IMX230 Exmor RS. Ia turut menggunakan auto fokus dengan pengesanan fasa (PDAF) yang lebih baik dari auto fokus biasa, dan dipadankan dengan dwi-LED flash. Kamera depan pula 8MP F2.4 dengan lensa lebar 26mm, dan memiliki LED flash dengan pancaran lembut untuk selfie lebih cerah.

Honor 7 kamera depan dan belakang

Honor 7 memiliki bateri 3100mAh, tetapi kali ini ia mempunyai pengecasan pantas, yang boleh mengecas sebanyak 50% sepantas 30 minit. Honor 7 turut mempunyai pengimbas cap jari, yang terletak di belakang di bawah kamera.

Satu perkara baru yang diterapkan di dalam Honor 7, adalah sistem kawalan suara. ia boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi atau memainkan muzik tanpa menghidupkan skrin telefon. Di bahagian kiri telefon, terdapat butang khas untuk memanggil ZhiLing, pembantu suara ciptaan Huawei seakan Siri dan Google Now. Tetapi, kelihatan ia hanya digunakan untuk pasaran di China sahaja.

Honor 7 menjalankan sistem operasi Android 5.0 Lollipop dengan antaramuka EMUI 3.1. Lamanweb GizChina menyenaraikan Honor 7 16GB berharga RMB1,999 (~RM1,219) dan versi 64GB RMB2,499 (~RM1,529).

Honor 7 pengimbas cap jari

 

Honor 7 dalam tangan

Comments

Apa komen anda?