Google bantu NGO berkembang melalui Google For Nonprofits

Share Button

Google Malaysia kini melancarkan program ‘Google For Nonprofits‘, sebuah program yang menawarkan kepada pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NGO) untuk mendapatkan potongan harga menarik atau percuma sepenuhnya bagi produk-produk Google. Ia diadakan untuk membantu NGO berkaitan mencari penderma serta tenaga sukarelawan, untuk terus melaksanakan aktiviti.

banner Google for nonprofits

Malaysia adalah negara terbaru program ini dilancarkan, selepas ia telah bertapak di Hong Kong, India, Indonesia, Macau, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Google For Nonprofits pertama kali dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 2003 dan kini boleh didapati di 55 negara di seluruh dunia. Lebih daripada 20,000 pengguna yang layak telah menyertai program ini. Mereka terdiri daripada NGO dalam bidang pendidikan, manfaat awam dan kemasyarakatan, alam sekitar dan haiwan, seni dan budaya, perkhidmatan kemanusiaan, pembangunan belia, kesukarelawanan dan kesihatan.

Terdapat empat aplikasi utama di dalam program Google For Nonprofits ini iaitu Google Apps For Nonprofits, geran Google Ad, program Youtube Nonprofits dan Google Earth Outreach. Ia didatangkan dengan dua lagi aplikasi pelengkap, Google Analytics dan Google+.

Untuk mendaftar ke program ini, NGO terlibat haruslah memenuhi beberapa pra-syarat seperti mempunyai status kebajikan semasa yang sah di Malaysia, diiktiraf dan bersetuju dengan syarat permohonan serta mengemukakan sijil tanpa diskriminasi serta resit-resit derma. Mereka juga wajib mempunyai laman web yang berfungsi, dengan kandungan yang berkaitan.

Raj Ridvan Singh dan Sajith Sivanandan (Kiri) Ketua Pegawai Eksekutif SOLS24/7, Raj Ridvan Singh dan (Kanan) Pengarah Pengurusan Google Malaysia, Vietnam, Philippines dan Pasaran Baru, Sajith Sivanandan di majlis pelancaran

Di Malaysia, urusan pendaftaran program Google For Nonprofits diuruskan oleh TechSoup Asia. TechSoup Asia adalah rakan rasmi program Google for nonprofits di rantau Asia Pasifik. Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian NGO antarabangsa yang memanfaatkan teknologi untuk pembangunan NGO sendiri. TechSoup Asia membantu Google mengenal pasti dan meraih penglibatan sebanyak mungkin NGO di Malaysia untuk menyertai program ini. Organisasi ini boleh mendaftar dan layak menjadi pengguna di dalam program ini, selepas mereka menerima pengesahan daripada TechSoup.

Google berharap dengan penawaran program ini ia akan mampu untuk melangkaui kebiasaan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan sebagai langkah tanggung jawab sosialnya di Malaysia, dan membantu organisasi-organisasi yang tidak berasaskan keuntungan ini dalam menjangkau khalayak sasaran dengan lebih meluas dan berkesan.

Untuk maklumat lanjut, layari lamanweb Google For Nonprofits Malaysia. Untuk pendaftaran, ia boleh dilakukan melalui pautan di sini.

 

Apa komen anda?