Xperia M4 Aqua, Xperia C4 & Xperia Z4 Tablet tampil bersama di Malaysia

Share Button

Sony masih belum berputus asa dalam arena peranti mudahalih, dan baru-baru ini Sony Malaysia melancarkan tiga peranti Xperia iaitu telefon pintar Xperia M4 Aqua, Xperia C4 dan juga Xperia Z4 Tablet. Jangkaan kami agak meleset kerana menyangkakan ketibaan Xperia Z3+, rupanya peranti utama yang diperkenalkan adalah tablet premium berkuasa tinggi, Xperia Z4 Tablet.

Xperia M4 Aqua adalah telefon pintar kalis air IP68 kelas pertengahan, dengan rekabentuk menyerupai siri utama Z3. Xperia C4 pula untuk peminat selfie, dengan led flash di kamera depan, serta pelbagai mod menarik di aplikasi kamera. Xperia Z4 Tablet adalah tablet berkuasa tinggi, dengan rupa premium dan kalis air IP68. Ketiga-tiga peranti Xperia baru ini dijana oleh sistem operasi Android 5.0 Lollipop.

Xperia M4 Aqua

Sony sering melangkau nombor dalam pengenalan model baru dan ini tidak terkecuali untuk Siri Xperia M. Xperia M2 Aqua yang diperkenalkan tahun lepas, kini mempunyai versi baru yang dikemaskini, yang dinamakan Xperia M4 Aqua. Xperia M4 Aqua yang baru ini memiliki badan yang lebih nipis dan ringan dari M2 Aqua, tetapi disertakan skrin lebih besar iaitu 5-inci HD 1280×720. Ciri utama yang diberi pada namanya iaitu kalis air kekal dengan rating IP68, tetapi ditambah dengan port mikro-USB yang tidak memerlukan penutup.

Xperia M4 Aqua dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 615 64-bit, dengan 2GB RAM dan 8GB storan dalaman serta slot kad memori mikro-SD. Kameranya dipertingkatkan ke 13MP di belakang dengan sensor Exmor RS & apertur F2.0 serta 5MP di depan. Baterinya juga berkapasiti lebih besar pada 2400mAh, dan Sony yakin ia mampu bertahan selama 2 hari dengan penggunaan biasa. Sedikit mengecewakan apabila Xperia M4 Aqua ini tidak menyokong 4G-LTE tetapi mempunyai dwi-slot untuk kad sim.

Terdapat 3 warna ditawarkan untuk Xperia M4 Aqua iaitu Putih, Hitam dan Coral. Ia akan mula dijual di Malaysia bermula minggu hadapan, dengan harga RM969 termasuk GST. Xperia M4 Aqua Dual tersedia dengan sistem operasi terbaru Android 5.0 Lollipop.

Xperia M4 Aqua Depan Xperia M4 Aqua vs M2 Aqua Xperia M4 Aqua warna

 

Xperia C4 Dual

Telefon yang diberi gelaran ProSelfie ini adalah versi peningkatan dari Xperia C3. Xperia C4 yang baru ini dilengkapi dengan kamera hadapan 5MP beserta LED Flash dan lensa lebar 25mm. Ia dikuasakan sensor Sony Exmor RS dan mempunyai fungsi HDR. Kamera belakang Xperia C4 pula sebesar 13MP dengan auto-fokus serta LED Flash. Paling menarik, terdapat pelbagai mod di aplikasi kamera Xperia yang bukan sahaja memberi efek tetapi mengubah muka dan juga menambah kostum ke dalam gambar.

Xperia C4 kali ini mempunyai rekaan badan yang lebih menarik seakan siri-Z, berbanding badan plastik yang kelihatan murahan pada Xperia C3. Xperia C4 kali ini dikuasakan CPU Mediatek 8-teras berkelajuan 1.7GHz, 2GB RAM dan 16GB storan yang lebih besar dari dulu. Slot kad memori mikro-SD juga terdapat pada Xperia C4.

Xperia C4 dilengkapi skrin IPS 5.5-inci HD Penuh 1920×1080. Baterinya pula berkapasiti 2600mAh dengan ketahanan yang diyakini dari Sony. Xperia C4 mempunyai dua slot kad-sim yang menyokong sehingga 4G-LTE.

Sony Malaysia masih belum mengumumkan harga jualan Xperia C4 di Malaysia, tetapi ia dijangka mula dijual bermula bulan Julai akan datang. Terdapat 3 warna pilihan bagi Xperia C4 iaitu putih, hitam dan hijau mint.

Xperia C4 depan Xperia C4 vs C3 Xperia C4 warna

 

Xperia Z4 Tablet

Peranti pertama dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 810 secara rasmi di Malaysia bukanlah telefon, tetapi ia adalah Xperia Z4 Tablet. Diletakkan di dalam kelas premium berkuasa tinggi, Xperia Z4 Tablet menggunakan CPU Snapdragon 810 berkelajuan 2.0Ghz, dengan 3GB RAM dan 32GB storan dalaman. Storan ini boleh ditambah dengan kad mikro-SD sehingga 128GB.

Apa yang menambah kehebatan Xperia Z4 Tablet ini adalah, penggunaan skrin LTPS 10.1-inci dengan resolusi QXGAiaitu 2560×1600. Xperia Z4 Tablet menampilkan rekaan badan premium dengan ketebalan hanya 6.1mm serta sangat ringan dengan berat 393 gram. Sama seperti peranti Xperia utama lain, Xperia Z4 Tablet juga kalis air dan debu dengan rating IP68. Port mikro-USB pada Xperia Z4 Tablet turut tidak memerlukan penutup untuk fungsi kalis airnya.

Kamera yang dilengkapi pada Xperia Z4 Tablet juga tidak kurang hebatnya. Kamera belakangnya beresolusi 8MP dengan aut-fokus tetapi tiada LED Flash. Kamera hadapan pula 5MP dengan lensa bersutu lebar. Bateri pada Xperia Z4 Tablet sebesar 6000mAh, memastikan penggunaan berjangka panjang. Xperia Z4 Tablet datang siap dengan Android 5.0 Lollipop.

Sony Malaysia turut memperkenalkan aksesori tambahan, iaitu papankekunci yang turut bertindak sebagai penutup pelindung bagi Xperia Z4 Tablet.

Xperia Z4 Tablet dijual di Malaysia dengan harga premium RM2699 untuk tablet sahaja, dan RM3199 bersama papankekunci. Terdapat dua pilihan warna iaitu putih dan hitam. Ia akan mula dijual di Malaysia pada 22 Jun 2015.

Xperia Z4 tablet bersama papankekunci Xperia Z4 Tablet papankekunci Xperia Z4 Tablet vs Z2 Tablet

 

Lebih banyak gambar berkaitan boleh dilihat di bawah ini:

Xperia M4 Aqua

Xperia M4 Aqua DepanXperia M4 Aqua atasXperia M4 Aqua bawahXperia M4 Aqua belakangXperia M4 Aqua kananXperia M4 Aqua kiri

 

Xperia C4

Xperia C4 depan Xperia C4 kamera depan Xperia C4 belakang Xperia C4 kiri Xperia C4 kanan Xperia C4 atas Xperia C4 bawah

Trackbacks

  1. […] Xperia M5 Dual. Kedua-dua telefon baru ini merupakan naiktaraf dari model Xperia C4 & M4 yang baru dilancarkan di Malaysia, dua bulan lepas. Sony juga bekerjasama dengan LINE dan 11street untuk tawaran […]

  2. […] Malaysia baru sahaja melancarkan telefon pintar kelas pertengahan, Xperia M4 Aqua dan juga Xperia C4 Dual pada bulan Jun lepas. Dua bulan kemudian, […]

  3. […] Xperia C4 Dual yang menjalankan sistem operasi Android 5.0 Lollipop, kini boleh dibeli dari Stor Sony Malaysia, serta wakil pengedar sah Sony, pada harga RM1299. Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Putih, Hitam dan juga Hijau Mint. Saksikan lebih banyak gambar berkaitan Xperia C4, dari laporan kami ketika pelancarannya di sini. […]

Apa komen anda?