Test Produk – ASUS Zenfone 2

Share Button

KELEBIHAN

+ Fungsi manual pada kamera dan keupayaan mengambil gambar yang terang dalam keadaan kurang cahaya
+ Menyokong dua rangkaian telefon mudah alih

KEKURANGAN

– Butang kapasitif android tidak bercahaya
– Bateri tidak boleh dicabut keluar

 

PENGENALAN

ASUS mula memperkenalkan Zenfone 2 ke mata dunia di Las Vegas bersempena CES 2015 pada Januari 2015 lalu. Pada 9 Mei 2015 bertempat di KL Live, ASUS secara rasminya telah melancarkan jualan telefon pintar Zenfone 2 di Malaysia. Untuk pasaran tempatan, terdapat 3 model yang diperkenalkan iaitu ZE500CL, ZE550ML, dan ZE551ML. Bagi model ZE551ML pula terdapat 3 variasi pilihan dari segi kapasiti RAM dan ruang storan dalaman. Jadual di bawah menerangkan perbezaan spesifikasi antara setiap model telefon.

Model yang ada pada kami adalah ZE551ML dengan kapasiti RAM 4GB dan storan dalaman 32GB. Oleh itu, semua aspek berkaitan tulisan di bawah adalah berdasarkan unit model yang ada pada kami ini.

 

REKABENTUK LUAR

Zenfone 2 adalah telefon berskrin 5.5 inci yang muat dalam badan telefon yang biasanya berskrin 5 inci. Jurutera ASUS berjaya mengurangkan lebar bezel disekeliling skrin dan dapat mencapai kadar 72% nisbah skrin-ke-badan telefon. Seluruh bahagian skrin telefon dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 3 yang anti calar. Ciri-ciri lain pada skrin adalah:

  • Paparan IPS dengan resolusi 1920×1080 (Full HD).
  • Sudut pandangan skrin seluas 178 darjah.
  • Sensor sentuhan skrin sepantas 60 milisaat.

Bahagian atas telefon terletaknya butang kuasa dan port audio 3.5 inci. Pada skrin terpampang megah logo ASUS dan di atasnya pembesar suara panggilan dengan kamera 5MP di sebelah kanan.

Asus Zenfone 2 - bahagian atas

Bahagian bawah telefon pula terdapat port mikroUSB dan lubang suara mikrofon. 3 butang-butang kapasitif – Back, Home, Apps – diletakkan pada bahagian bawah skrin. Butang-butang ini tidak mempunyai cahaya belakang, jadi anda perlu mengingati kedudukan setiap butang jika berada dalam gelap.

Asus Zenfone 2 - bahagian bawah

Tiada apa-apa di sebelah kiri…

Asus Zenfone 2 - bahagian kiri…dan kanan telefon.

Asus Zenfone 2 - bahagian kanan

Pada bahagian belakang terdapat flash dwi-LED, kamera 13MP, butang volume bunyi dan lubang-lubang mikro pembesar suara. Penutup belakang Zenfone 2 yang diperbuat daripada plastik menampilkan tekstur garisan rerambut metalik bagi menzahirkan rupa yang premium untuk telefon pintar ini.

Asus Zenfone 2 - bahagian belakang

Mungkin anda perlu ambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan butang kuasa dan juga volume bunyi, yang agak berbeza daripada daripada kebanyakan telefon pintar yang lain yang mempunyai butang-butang fungsi di kiri atau kanan telefon.

ASUS menampilkan rekabentuk melengkung berciri ergonomik yang memberikan keselesaan serta memudahkan pengguna untuk memegangnya, mengambil gambar selfie, dan mengubah volume bunyi tanpa sebarang masalah tak kiralah sama ada anda pengguna tangan kiri atau tangan kanan.

Tahukah anda yang anda boleh mengambil gambar selfie dengan hanya menekan butang volume bunyi di belakang telefon?

Ya, sekarang anda sudah tahu!

Asus Zenfone 2 - lengkung

Apabila penutup belakang dibuka, pengguna boleh memasukkan sehingga 2 kad mikroSIM ke dalam 2 slot kad SIM yang disediakan. Dengan telefon pintar Zenfone 2 ini anda boleh menggunakan 2 nombor secara serentak dari mana-mana rangkaian perkhidmatan mudahalih.

Asus Zenfone 2 - Bahagian dalam

Walau bagaimanapun, hanya slot SIM 1 yang menyokong rangkaian 4G LTE manakala slot SIM 2 menyokong rangkaian 2G saja. Bagusnya jika kedua-dua slot menyokong rangkaian 4G LTE seperti Mi4i dari Xiaomi, jadi pengguna tidak perlu menukar kedudukan kad SIM bila perlukan akses data berkelajuan tinggi, terutama sekali bila berada di luar negara.

Jika anda merasakan storan dalaman telefon ini tidak mencukupi, anda juga boleh memasukkan kad mikroSD berkapasiti sehingga 64GB ke dalam slot kad mikroSD yang disediakan.

Asus Zenfone 2 - Bahagian dalam

 

KUASA DALAMAN

Zenfone 2 dikuasakan oleh pemproses Intel Atom 64-bit kuad-teras dengan kelajuan sehingga 2.3GHz. Grafik pula diuruskan oleh pemproses grafik PowerVR Rogue G6430 yang menyokong OpenGL 3.2. Kombinasi 2 pemproses hebat ini memberikan pengguna kuasa yang sebelum ini hanya boleh didapati melalui komputer desktop. Melancarkan aplikasi dan permainan mobile terasa licin dan pantas.

Asus Zenfone 2 spesifikasi

Ditambah pula kapasiti RAM sebesar 4GB yang memberikan ruang storan lebih besar untuk sebarang aplikasi berfungsi dengan lancar tanpa sebarang sekatan. Ini dibuktikan bila kami seringkali menukar penggunaan aplikasi antara permainan (game) 3D yang intensif seperti Asphalt 8, NOVA 3 dan aplikasi seperti Facebook, Gmail, Instagram, dan lain-lain aplikasi tanpa tersekat-sekat.

Lihat apa lagi permainan yang anda boleh main dengan Zenfone 2.

ASUS turut membawakan ciri-ciri berikut dalam Zenfone 2:

  • WiFi – menyokong standard 802.11a/b/g/n/ac
  • GPS – menyokong 5 sistem navigasi satelit (GPS, GLONASS, BDS, QZSS, SBAS)
  • Bluetooth 4.0 dengan A2DP
  • Sokongan NFC (Near Field Communication) – pada model Z551ML saja
  • Keupayaan WiFi Hotspot (tether) yang pantas

 

SISTEM OPERASI & ANTARAMUKA

Zenfone 2 hadir dengan sistem operasi terbaru Android, iaitu Android 5.0 Lollipop, dan digabungkan bersama antaramuka kebanggaan ASUS iaitu ZenUI yang dibangunkan sendiri oleh mereka. Kini dengan ZenUI 2.0 yang telah dinaiktaraf dari versi sebelumnya, antaramuka Zenfone 2 tampil lebih menarik dengan penambahan pelbagai ciri baru, seperti ZenMotion, SnapView, TrendMicro Security, dan ZenUI Instant Updates.

Bermula dari skrin terpadam, anda boleh menekan butang kuasa di atas telefon untuk menghidupkan skrin. Anda juga boleh mengetuk 2 kali pada skrin untuk menghidupkan skrin. Itulah dia salah satu dari fungsi ZenMotion yang terdapat dalam versi ZenUI 2.0 kali ini. Untuk mematikan skrin, ketuk skrin 2 kali juga pada ruang yang tiada ikon atau guna cara tradisional dengan menekan butang kuasa.

Setelah skrin dihidupkan, leretan jari ke atas pada skrin pengunci akan membawa pengguna ke paparan skrin utama. ZenUI 2.0 masih mengekalkan fungsi Apps Drawer yang menyimpan semua ikon-ikon aplikasi yang dipasang dalam telefon. Untuk mengakses ruang tersebut, klik ikon Apps Drawer di atas butang Home.

Asus Zenfone 2 antaramuka ZenUI2.0

Tema antaramuka boleh ditukar secara mudah dengan adanya aplikasi Themes. Setakat artikel ini ditulis baru terdapat 8 tema yang disediakan dalam aplikasi tersebut dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Asus Zenfone 2 Tema

Notifikasi terbaru dapat dilihat dengan cara yang biasa bagi telefon berasaskan Android iaitu meleret jari dari hujung atas skrin ke bawah. Leret lagi ke bawah dan anda dapat lihat beberapa tetapan pantas untuk telefon, seperti WiFi, Bluetooth, mod kapal terbang, dan pelbagai lagi.

Asus Zenfone 2 Notifikasi

ZenMotion, selain dapat menghidup dan memadam skrin telefon dengan dua kali ketuk, juga mempunyai fungsi isyarat sentuhan (touch gesture) yang dapat terus membuka aplikasi tertentu walaupun skrin padam. Contoh; sapuan “W” pada skrin akan terus menghidupkan skrin dan melancarkan aplikasi pelayar internet. Sapuan “S” akan membuka aplikasi SMS. Lain-lain tetapan ialah;

  • “e” – Email
  • “C”- Kamera
  • “Z” – Asus Boost
  • “V” – Dail telefon

Tetapan ini boleh diubah mengikut kesukaan anda.

Perlukan gambar skrin dalam telefon? Lancarkan sebarang aplikasi dan goyang telefon 2 kali. Gambar skrin akan terus sedia menunggu untuk dimuatnaik ke mana-mana saja yang anda suka.

 

KAMERA

ASUS menggunakan cogankata “lihat apa yang lain tak dapat lihat” dalam kempen pemasaran Zenfone 2 ini. Cogankata ini sangat berkait rapat dengan teknologi PixelMaster yang digunakan untuk kameranya.

PixelMaster adalah teknologi pengimejan digital dari ASUS yang menggabungkan algoritma eksklusif, perkakasan berkuasa, dan sistem optik istimewa untuk menghasilkan gambar yang menakjubkan walaupun dalam keadaan yang kurang cahaya.

Pelbagai mod kamera disediakan yang boleh anda pilih untuk disesuaikan dengan keadaan persekitaran anda atau pun mengikut kreativiti anda.

Asus Zenfone 2 Mod Kamera

Lihat bagaimana kamera Zenfone 2 lebih menyerlah dalam keadaan malap berbanding kamera telefon lain DI SINI.

TS-Asus-Zenfone-2-OWL

Kedua-dua kamera depan dan belakang hadir dengan teknologi PixelMaster, lensa 5-elemen,  serta apertur f/2.0 dengan pengatup lewat sifar (zero shutter lag).

Kamera belakang yang mempunyai resolusi 13MP disertakan bersama flash LED dwi-tona (putih dan kuning) untuk penghasilan gambar subjek yang tampak lebih hidup dan semulajadi.

Asus Zenfone 2 Kamera Belakang

Untuk gambar yang lebih jelas dalam suasana pencahayaan yang mencabar, ASUS turut menawarkan aksesori lampu flash tambahan iaitu ZenFlash dan LolliFlash.

Bagi yang profesional, mod manual seperti yang ada pada kamera DSLR turut disediakan bagi membolehkan anda mengawal ISO, White Balance, Exposure Value, kelajuan pengatup shutter, dan juga jarak fokus.

Asus Zenfone 2 Mod Kamera Manual Asus Zenfone 2 Mod Kamera Manual

Sokongan mod 52MP Super Resolution pula membolehkan anda menangkap gambar dengan kejelasan yang sangat tinggi berbanding biasa.

asus-zenfone-2-sampel-gambar-5

Berikut ialah beberapa sampel gambar yang kami ambil.

Asus Zenfone 2 Sampel Gambar Asus Zenfone 2 Sampel Gambar Asus Zenfone 2 Sampel Gambar

Kamera depan Zenfone 2 berupaya mengambil gambar dengan resolusi 5MP, dan gambar panorama selfie seluas 140 darjah membolehkan lebih ramai orang untuk muat dalam satu gambar.

Rakaman video boleh diambil sehingga resolusi HD Penuh 1080p menggunakan kamera depan atau belakang dengan fungsi penstabil.

 

BATERI

Bateri Zenfone 2 mempunyai kapasiti 3000mAh dan tidak boleh dicabut keluar. Kami menguji berapa lama bateri ini dapat bertahan dengan menggunakan aplikasi PCMark – Work Battery Life, dan keputusannya menunjukkan yang telefon ini mampu bertahan selama 6 jam 24 minit. Keputusan ini adalah berdasarkan simulasi penggunaan telefon tanpa henti (skrin sentiasa hidup) dengan berulangkali melakukan kerja-kerja asas iaitu melayari internet, memainkan video, menulis, dan mengedit foto, bermula dari bateri bercaj penuh 100% sehingga tinggal 20%.

Asus Zenfone 2 ketahanan bateri

Bateri Zenfone 2 menyokong teknologi pengecasan pantas BoostMaster. Walau bagaimanapun, anda memerlukan adapter pengecas khas yang hanya disertakan dalam model ZE551ML dengan RAM 4GB. ASUS menyatakan yang teknologi ini berupaya mengecas bateri sehingga 60% dalam masa 39 minit saja. Kami menguji kenyataan ini dengan mengecas telefon ketika bateri berada pada 10%.

Asus Zenfone 2 Cas Bateri

Ternyata apa yang didakwa oleh ASUS adalah benar! Telefon dapat dicas mencapai 70% dalam masa hanya 39 minit saja. Dalam tempoh ini bateri dicas dalam mod pengecasan pantas. Setelah had ini dicapai, bateri akan dicas dalam mod normal.

Hasil ujian kami menunjukkan tempoh masa yang diperlukan untuk mengecas bateri sehingga 100% adalah 1 jam 5 minit.

Asus Zenfone 2 cas bateri

Perlukan lebih lama kuasa bateri? ASUS ZenPower boleh membantu.

 

PRESTASI

Kami juga menguji prestasi telefon ini dengan menggunakan 3 aplikasi penguji yang popular iaitu Antutu, 3DMark, dan PCMark – Work Performance.

Markah yang diperoleh dalam Antutu ialah 46545, rendah sedikit berbanding Galaxy Note 4 dan tinggi sedikit daripada OnePlus One.

Asus Zenfone 2 Antutu

Keputusan prestasi PCMark – Work performance menunjukkan markah sebanyak 5489 dan menurut aplikasi penguji ini, Zenfone 2 adalah antara peranti yang paling berkuasa buat masa ini.

Asus Zenfone 2 PCMark

Berikut adalah senarai kedudukan peranti yang terbaik mengikut database prestasi PCMark – Work Performance.

Asus Zenfone 2 ranking PCMark

Berbeza dari PCMark dan Antutu, aplikasi 3DMark digunakan khusus untuk menguji keupayaan pemproses grafik peranti secara intensif. Ada 3 set ujian grafik yang dilalui dan markah yang diperoleh untuk setiap ujian adalah seperti berikut:

Ice Storm : Maxed Out!

Asus Zenfone 2 3DMark Ice Storm

Ice Storm Unlimited : 19821

Asus Zenfone 2 3DMark Ice Storm Unlimited

Ice Storm Extreme: 9943

Asus Zenfone 2 3DMark Ice Storm Extreme

 

KESIMPULAN

ASUS menawarkan telefon pintar Zenfone 2 dalam 5 variasi yang dengan harga serendah RM599, dengan ciri dan spesifikasi telefon yang berbeza pada setiap model. Dengan harga yang ditawarkan bersama prestasi yang dibekalkan pada telefon pintar ini, kami berpendapat bahawa anda memperoleh lebih nilai pada wang anda.

Ciri kamera PixelMaster pada Zenfone 2 adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana telefon pintar ini dapat “lihat apa yang lain tak dapat lihat”, dengan mod-mod kamera seperti Low Light, HDR, Night, dan Super Resolution. Juga disediakan mod kamera Manual bagi mereka yang profesional dan kreatif.

ASUS Zenfone 2 kini boleh didapati di kebanyakan kedai telefon pintar, atau anda boleh dapatkannya secara terus melalui kedai dalam talian ASUS, http://store.asus.com/my. Bagi mereka yang mahu mendapatkannya bersama dengan pelan rangkaian mudah alih, setakat artikel ini ditulis hanya Digi menawarkan pakej talian mudah alih beserta telefon Zenfone 2 ini.

 

Comments

  1. Jdt

    Adakah handphone Asus ada masalah pada pemilihann USB? INI kerana apabila menggunakan USB lain ketika mengecas selain USB original Asus.masa mengecas lebih lama..Dan lambat..ada solusi utk masalah ini?

Trackbacks

  1. […] laporan Test Produk ASUS Zenfone 2 kami untuk mengenali telefon pintar ini dengan lebih […]

Apa komen anda?