Test Produk – Apple Watch Sport

Intro

Share Button

umobile_800x100_bm

 

Nama Apple memang sangat gah di dalam dunia teknologi. Kebanyakan produk yang dilancarkan Apple menjadi tumpuan ramai. Bermula dari iMac yang menggabungkan PC & Monitor, kemudian iPod dengan servis iTunes, sehinggalah kemunculan telefon pintar iPhone yang mensensasikan skrin sentuh di telefon pintar, dan juga iPad yang memecah rekod jualan terpantas produk pengguna.

Tetapi kenyataannya, Apple tidak pernah mencipta perkara baru. Apple bukan yang pertama mengeluarkan telefon pintar dengan skrin sentuh, apatah lagi tablet dan juga pemain muzik. Tetapi Apple berjaya menjadikan produk sedia ada kepada sesuatu yang sensasi. Sehinggakan mungkin ada yang tertanya, kenapa tiada yang terfikir seperti Apa yang Apple lakukan sebelum ini.

Apple Watch - depan menu belakang pengecas

Kali ini, kategori yang hangat diperkatakan adalah peranti boleh pakai. Akhirnya, Apple telah turut sama dalam peperangan ini, dengan pengenalan Apple Watch. Pebble dan juga Android Wear yang telah kian lama berkecimpung dalam pasaran ini, pasti telah memberi pelbagai idea kepada Apple, tentang perkara yang perlu atau tidak untuk jam tangan pintar.

Mampukah Apple meneruskan kejayaan mereka dengan Apple Watch? Kerana itu kami bawakan sendiri kepada anda, test produk Apple Watch.

 

Jenis Apple Watch

Sebelum mula membaca reviu, mari kita kenali semua jenis Apple Watch yang ada. Kebiasannya, Apple hanya mengeluarkan satu atau dua jenis sahaja produk yang sama dalam satu masa, seperti iPhone 6 dan 6 Plus. Tetapi bagi Apple Watch, jumlah keseluruhannya adalah 38 model. Kesemua model ini dipecahkan dalam 3 kategori, dengan perbezaan saiz badan jam 38mm dan 42mm, serta tali jam yang berlainan.

Model pertama, dikenali sebagai Apple Watch Sport. Ia mempunyai badan berasaskan Aluminum berwarna perak atau kelabu, sama seperti iPhone 6. Kacanya diperteguh dengan Ion-X. Sebagai model asas, ia hanya mempunyai pilihan tali getah pelbagai warna.

Koleksi Apple Watch Sport

Model Kedua ialah Apple Watch. Ya, namanya Apple Watch. Ia mempunyai badan berasaskan besi tahan karat dengan kemasan krom ataupun hitam. Kacanya pula diperbuat dari kristal sapphire yang kedua paling kukuh selepas berlian. Apple Watch datang dengan pelbagai pilihan tali seperti getah, kulit dan juga besi.

Bagi yang berpegang dengan fahaman Apple sebagai produk paling premium, model ketiga ini khas untuk mereka. Apple Watch Edition, datang dengan badan diperbuat dari Emas Kuning atau Emas Ros 18-karat. Tali jam pula datang dalam dua jenis, getah ataupun kulit asli. Kaca jam Apple Watch Edition juga diperbuat dari Kristal Sapphire.

Berat badan jam Apple Watch semuanya berbeza. Bagi Apple Watch Sport 42mm, beratnya hanyalah 30 gram. Tetapi bagi Apple Watch dengan badan besi tahan karat, beratnya ialah 50 gram. Manakala Apple Watch Edition diperbuat dari Emas Ros pula seberat 67 gram dan model Emas Kuning pula 69 gram, dua kali lebih berat berat dari Apple Watch Sport.

Perbezaan semua jenis Apple Watch ini, ialah pada rupa luaran serta skrin dan bateri sahaja. Bagi model 38mm, ia mempunyai resolusi 272×340. Untuk model 42mm, resolusinya ialah 312×390 piksel. Walaupun kelihatan berbeza, kedua-dua skrin OLED ini mempunyai kepadatan piksel yang sama, iaitu 326 PPI.

Apple Watch Sport 42mm dan 38mm

Di dalam semua Apple Watch, ia mempunyai 8GB storan dan menggunakan sambungan Bluetooth 4.0 dan Wifi untuk sambungan tanpa wayar. Bateri bagi model 42mm dikatakan lebih besar berbanding 38mm. Tetapi ia mungkin tidak berbeza dari segi penggunaan harian.

Untuk test produk kali ini, kami telah mendapatkan Apple Watch Sport 42mm dengan tali getah berwarna hijau.

Trackbacks

  1. […] Apple Watch yang telah sekian lama dilancarkan, masih belum khabar berita tentang ketibaannya di Malaysia. Tetapi jika anda mahukannya, bolehlah melawat negara jiran Thailand dan Singapura, kerana ia telah dijual di sana. […]

Apa komen anda?