Pencalonan Anugerah Keselamatan Siber CSM-ACE 2015 kini dibuka

Share Button

Acara anugerah berprestij, Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2015 (Malaysia Cyber Security Awards 2015) akan diadakan tidak lama lagi. Penganjur acara ini iaitu CyberSecurity Malaysia, pakar keselamatan siber kebangsaan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), memanggil mana-mana individu dan syarikat untuk menghantar pencalonan bagi mereka yang layak, untuk dicalonkan ke anugerah ini.

Pencalonan ini terbuka kepada individu, syarikat tempatan serta syarikat antarabangsa, di bawah tujuh kategori yang dipertandingkan. maklumat lanjut berkenaan kategori serta kriteria pencalonan boleh dilihat di ruangan ‘Nomination Criteria & Form‘ di lamanweb CSM-ACE. Pencalonan diri sendiri turut dibenarkan. Tarikh tutup pencalonan ialah pada 6 Julai 2015.

Menurut CEO CyberSecurity Malaysia, Dr Amiruddin Abdul Wahab, juri akan meneliti senarai pencalonan dan melihat pencapaian mereka dari segi pada inovasi, komitmen dan peneraju industri, serta sumbangan mereka kepada komuniti. Pemenang akan menerima plak kristal dan sijil yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri MOSTI, Datuk Dr. Ewon Ebin, di Majlis Makan Malam Gala yang akan diadakan di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

logo csm-ace-2013

Acara CSM-ACE 2015, tahun ini akan diadakan pada 6 September sehingga 10 September 2015. Ia akan mencatatkan rekod dunia apabila menjadi Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Serantau, terbesar di kalangan 57 negara ahli OIC. Ini berikutan dua acara utama yang turut diadakan bersama CSM-ACE 2015, iaitu mesyuarat tahunan dan persidangan APCERT (Asia Pacific Computer Emergency Response Team), serta AGM dan persidangan tahunan OIC-CERT (Organization of Islamic Cooperation – Computer Emergency Response Team).

CSM-ACE adalah acara tahunan keselamatan siber terbesar di Malaysia. Tahun ini, ia membawakan tema “Menghubungkan Dunia – Menuju Hijau Siber”. Untuk maklumat lanjut tentang CSM-ACE 2015, layari lamanweb www.csm-ace.my

Banner CSM-ACE 2015 besar

Apa komen anda?