U Mobile tawar Galaxy S6 & S6 edge tanpa deposit serta kebebasan menamatkan kontrak

Share Button

Selepas hampir sebulan Samsung Malaysia menjual Galaxy S6 dan S6 edge di Malaysia, akhirnya U Mobile mula menjual telefon pintar terhebat Samsung ini. Seperti biasa, U Mobile memberikan tawaran yang sangat menarik untuk mendapatkan peranti dengan kontrak pelan.

Bagi pembelian Galaxy S6 dan S6 edge, U Mobile menawarkan pelan prabayar baru yang dipanggil, pelan ‘Ultimate Device‘ (UD), di mana terdapat tiga jenis pelan iaitu UD65, UD95 dan UD135. Nombor pada pelan adalah komitmen minima bulanan yang perlu dibayar. Pelan Ultimate Device berbeza dengan pelan Pascabayar P50 atau P70, kerana ia menawarkan minit panggilan dan SMS di dalam pelan.

 

galaxy S6 at umobile COVER

Paling menarik, U Mobile menawarkan beberapa faedah yang jarang ada pada syarikat telekomunikasi (telko) yang lain. Untuk pembelian Galaxy S6 & S6 edge ini, U Mobile menawarkan tiada wang pendahuluan diperlukan, jika pelanggan membeli peranti menggunakan kad kredit, dan mendaftar pembayaran auto debit pada masa yang sama. Jika tidak, pelanggan perlu membayar deposit RM360 untuk pelan UD65, RM600 untuk pelan UD95 dan RM960 untuk pelan UD135. Wang pendahuluan ini akan direbatkan semula di dalam bil bulanan pelanggan, sama rata selama 24 bulan.

U Mobile juga menawarkan pembelian Galaxy S6 dan S6 edge bersama kontrak pelan 24 bulan, dengan harga yang menarik. Bagi Galaxy S6, ia ditawarkan dari serendah RM1266 dengan pelan UD135, yang memberikan 6GB internet berkelajuan pantas, 130 minit panggilan dan 65 sms. Manakala pelan UD95 dengan 5GB internet dan 90 minit panggilan dan tiada sms percuma, menawarkan Galaxy S6 berharga RM1611. Pelan UD65 pula mempunyai 3GB internet dan 60 minit panggilan, meletakkan harga Galaxy S6 pada RM1846. Semua harga yang disebutkan ini, belum termasuk GST 6%.

U Mobile plan Galaxy S6

 

Bagi Galaxy S6 edge dengan kontrak 24 bulan pula, pelanggan pelan UD135 boleh membeli S6 edge pada harga RM1690, pelan UD95 berharga RM2035 dan pelan UD65 pula berharga RM2265.  Sama seperti tadi, semua harga ini tidak termasuk GST 6%. U Mobile turut menyatakan di Facebook, pelanggan mereka mempunyai kebebasan untuk menamatkan kontrak ini. Tetapi kami tidak menemui sebarang maklumat lanjut tentangnya.

U Mobile plan Galaxy S6 edge

 

Jika ia sama seperti kontrak iPhone 6, pelanggan U Mobile boleh menamatkan kontrak mereka bila-bila masa, tanpa dikenakan sebarang penalti. Pelanggan hanya perlu membayar semula harga subsidi sahaja, dan baki wang pendahuluan mereka tidak akan dipulangkan. Tawaran iPhone 6 U Mobile sebelum ini memang sangat menguntungkan pelanggan, kerana harganya yang lebih murah dari harga pasaran. Tetapi bagi tawaran Galaxy S6 dan S6 edge ini, lebih maklumat yang jelas diperlukan berkenaan kebebasan kontrak mereka.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kontrak pelan Ultimate Device bersama Galaxy S6, layari lamanwebnya di sini. Manakala untuk Galaxy S6 edge, anda boleh mendapatkannya di sini.

 

Apa komen anda?