Telefon pintar Android bawah RM800 suku kedua tahun 2015

Share Button

Makin hari semakin banyak telefon pintar baru dilancarkan di Malaysia. Telefon pintar Android yang dilengkapi sistem operasi terbaru Lollipop, kini boleh dibeli dari serendah RM299. Tetapi kali ini, kami senaraikan telefon pintar dalam julat harga yang menjadi perbualan ramai, iaitu berharga di bawah RM800. Sebelum ini, kami telah menyenaraikan telefon Android berharga kurang rm500 pada bulan Mac lepas di sini.

Telefon pintar Android di bawah RM800, adalah telefon di kelas pertengahan. Ia memberi prestasi menghampiri telefon utama, tetapi pada harga yang masih terjangkau oleh orang ramai. Apatah lagi, kebanyakan jenama terutama dari China, mengeluarkan telefon pintar pada harga ini.

Di sini, kami senaraikan telefon pintar Android di bawah RM800, yang dilancarkan pada tahun 2015. Kesemua telefon pintar ini memiliki beberapa persamaan, serta kekuatan unik tersendiri. Antara persamaan yang terdapat pada kesemua model ini adalah seperti CPU teknologi baru 64-bit, RAM sebesar 2GB, kamera hadapan 5MP serta menyokong 4G-LTE yang serasi dengan rangkaian Malaysia. Selain itu, kesemua telefon pintar ini tidak direka premium dengan material seperti besi atau kaca, tetapi menggunakan rekaan plastik di luaran.

 

Meizu M1 Note

Meizu-M1Note-pinkwhite

Meizu bermula yakin awal tahun ini apabila melancarkan M1 Note di Malaysia. Ia adalah model kedua Meizu di Malaysia, selepas MX4. Meizu M1 Note memfokuskan kepada prestasi, dengan skrin HD Penuh dan juga storan 16GB, antara yang tertinggi dalam kelas ini. M1 Note juga menyokong 4G FDD & TDD, menjadikan ia boleh diguna pakai di banyak negara.

M1 Note mempunyai dua slot kad sim, tetapi hanya satu slot sahaja yang menyokong 4G-LTE. M1 Note juga tidak memiliki slot kad mikro-SD. Selain ini, ia juga masih menggunakan Android 4.4 KitKat, walaupun dilancarkan awal tahun ini.

Harga: RM 739

 

Honor 4X

honor4x putih race

Telefon Honor 4X adalah yang termurah dalam senarai ini, dengan harga RM619 termasuk GST. Tetapi ia masih memiliki prestasi kelas pertengahan, dengan CPU 64-bit, 2GB RAM & kamera belakang 13MP.

Dengan harga kurang RM100 dari M1 Note, ia juga sedikit kurang dari segi spesifikasi, seperti storan dalaman hanya 8GB dan skrin HD 720p. Tetapi dengan slot kad mikro-SD, ia boleh menambah storan fizikal dalaman. Honor 4X juga hanya boleh dibeli dalam talian, menjadikannya agak sukar untuk dibeli kerana stok yang sentiasa terhad.

Harga: RM619

 

 

ASUS Zenfone 2 (ZE550ML)

Asus-ZenFone-2 lengkap

Zenfone 2 dilancarkan di Malaysia dalam suasana sangat meriah. Dari atas kertas, ia adalah antara telefon pintar paling berkuasa dalam kategori ini. Satu kelebihan pada Zenfone 2 yang tidak ada pada yang lain, ialah sokongan NFC. Zenfone 2 turut memiliki pengecasan pantas BoostMaster, tetapi pengecasnya dijual berasingan untuk model ini. Zenfone 2 telah siap datang dengan Android 5.0 Lollipop, sebaik keluar dari kotak.

ASUS juga terus mempertaruhkan kehebatan kamera PixelMaster ke dalam Zenfone 2. Sama seperti M1 Note, ia meyokong dwi-sim tetapi hanya satu slot yang aktif 4G-LTE. Bateri Zenfone 2 kini berkapasiti 3000mAh dan tidak boleh diubah. Tetapi CPU Intel Atom masih kuat memakan bateri berbanding Qualcomm atau Mediatek, menjadikan Zenfone 2 kurang bertahan lama sebelum perlu dicas semula.

Harga: RM749

Baca: Test Produk ASUS Zenfone 2

 

 

Lenovo A7000Lenovo-A7000-Hitam

Sekali lihat di atas kertas spesifikasi mungkin tidak kelihatan, tetapi Lenovo A7000 adalah telefon pintar dengan prestasi yang sangat bagus. Fokus utamanya adalah sistem bunyi Dolby Atmos yang terbina di dalam telefon ini. Baterinya juga, walaupun berkapasiti hanya 2900mAh, tetapi ia memberi jangka hayat yang agak panjang.

Agak mengecewakan, apabila storannya hanya 8GB yang diisi terlalu banyak aplikasi Lenovo. A7000 juga tidak datang dengan earfon berkualiti tinggi, menjadikan sistem bunyi Dolby Atmos kurang bertenaga, melainkan anda sedia memiliki earfon/headfon yang sangat bagus.

Harga: RM 699

Baca: Test Produk Lenovo A7000

 

 

Acer Liquid Jade Z

Acer Liquid Jade Z Putih

Cukup-cukup makan sahaja untuk disenaraikan dalam kategori ini adalah Acer Liquid Jade Z, yang berharga RM799. Kelebihannya yang paling utama ialah pada berat. Liquid Jade Z hanya seberat 110 gram, jauh lebih ringan dari telefon lain. Ia juga adalah satu-satunya yang menggunakan kad sim bersaiz nano. Kamera belakangnya dilengkapi apertur F1.8, menjanjikan gambar yang lebih cerah dari kamera telefon lain.

Malangnya, Liquid Jade Z menjadi ringan dengan mengorbankan saiz bateri. Dengan kapasiti 2300mAh, ia adalah yang terkecil dalam kumpulan ini. Sedikit kecewa juga apabila ia masih menjalankan Android 4.4 KitKat, walaupun baru dilancarkan bulan ini.

Harga: RM799

 

Xiaomi Mi 4i

Xaiomi Mi4i lengkap

Dari segi spesifikasi, boleh dikatakan Mi 4i adalah yang terbaik dalam kategori ini. Skrin HD Penuh, storan 16GB, bateri 3120mAh dan juga sokongan dwi-sim 4G, sukar untuk melihat kekurangannya apabila dibandingkan dengan yang lain. Ia juga satu-satunya yang menggunakan CPU Qualcomm, iaitu Snapdragon 615.

Tetapi keputusan Xiaomi untuk tidak meletakkan slot kad memori mikro-SD, mungkin akan menghilangkan minat beberapa pembeli. Apatah lagi, ia juga tidak dilengkapi NFC, menjadikannya kekal peranti kelas pertengahan, bukan kelas utama.

Harga: RM749

Baca: Test Produk Xiaomi Mi 4i

 

RUMUSAN

Jadual di bawah ini menyenaraikan spesifikasi lengkap 6 telefon pintar di bawah RM800, yang kami pilih & rasakan berbaloi untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia. Klik pada gambar untuk melihat jadual di bawah lebih besar.

Jadual telefon pintar Android bawah RM800 TheSkop

 

Comments

  1. amie

    Xiaomi Mi4i mengalami masalah overheating. Suhu maksimum boleh cecah 55 darjah celsius. Pada saya, itu sangat bahaya utk jangka masa lama.

Trackbacks

  1. […] Berikut, terdapat 6 telefon pintar di bawah harga RM500 yang pada pendapat kami adalah harga mampu milik dengan prestasi minima yang diperlukan serta berbaloi untuk dibeli. Atau jika anda mencari telefon kelas pertengahan, boleh rujuk senarai telefon bawah RM800 kami di sini. […]

Apa komen anda?