Stor dalam talian ASUS Malaysia akan mula menjual Zenfone 2

Share Button

ASUS Malaysia hari ini mengumumkan di Facebooknya, akan mula menjual telefon pintar terbaru mereka, Zenfone 2 di stor dalam talian mereka di alamat http://store.asus.com/my/. Penjualan di stor dalam talian ini akan bermula pada hari Sabtu, 16 Mei 2015 jam 12 tengahari, iaitu hari esok.

Perkara ini pasti menggembirakan pembeli dari luar Lembah Klang, yang tidak dapat menyertai pembelian Zenfone 2 ketika pelancarannya di acara Incredible ZenDay, pada 9 Mei yang lepas. Laporan acara Incredible Zenday yang sangat meriah dengan barisan peminat membeli Zenfone 2 yang sangat panjang, boleh dibaca di sini.

Incredible ZenDay beratur panjang

Dengan pembelian di Stor ASUS ini, pembeli boleh membayar secara tunai, apabila produk dihantar kepada mereka. Stor ASUS ini juga menerima pembayaran melalui kad kredit dan kad debit, tanpa dikenakan sebarang caj tambahan. Selain ini, Stor ASUS turut menerima bayaran melalui perbankan internet dari bank Maybank, CIMB, Public Bank, Hong Leong Bank, Bank Islam dan juga RHB. Pembeli boleh memeriksa status lokasi penghantaran produk yang dibeli, terus dari lamanweb Stor ASUS.

ASUS Malaysia telah melancarkan lima model Zenfone 2 pada acara Incredible ZenDay yang lepas. Pada acara tersebut, mereka telah menjual kelima-lima model dalam unit terhad. Model yang paling diminati ramai ialah ZE551ML berharga RM1099. Ia menggunakan CPU Intel Z3580 berkelajuan 2.3GHz, dengan 4GB RAM dan 32GB storan.

Terdapat juga beberapa kedai telah menjual ASUS Zenfone 2, seperti di DirectD. Tetapi model dan unit serta pilihan warna yang terdapat juga terhad. Dijangka, Stor ASUS esok jua akan menjual Zenfone 2 dalam unit terhad dan model terpilih. Mungkin warna juga tiada pilihan, sepertimana ketika acara ZenDay, hanya satu warna sahaja dijual pada setiap model.

Jika anda sudah biasa membeli produk terbaru ASUS, pasti anda sedar yang ASUS Malaysia sering membawa masuk model terbaru telefon pintar mereka dalam unit yang sangat terhad, dan mengambil masa agak lama untuk membawa stok baru. Jadi, jika anda benar-benar perlukan telefon pintar ASUS Zenfone 2 ini, segera bersiap sedia jam 11 pagi esok, sebelum Stor ASUS mula menjual Zenfone 2 sejam selepas itu.

Incredible ZenDay - 006 Incredible ZenDay - 007

Apa komen anda?