Perancangan Xiaomi terdedah

Share Button

Sejak awal tahun ini, Xiaomi telah memperkenalkan banyak telefon pintar baru seperti Mi Note, Redmi 2 dan terbaru Mi 4i di India bulan lepas. Mi Note Pro yang dilancarkan awal tahun ini, baru sahaja mula dijual di China. Setakat ini, Mi Note Pro adalah telefon pintar Xiaomi paling berkuasa dengan kelengkapan seperti CPU Qualcomm Snapdragon 810 dan 4GB RAM. Tetapi, perancangan Xiaomi untuk melancarkan telefon pintar baru, bukan setakat ini sahaja.

 

Jadual Pelancaran Xiaomi 2015 900x450

Baru-baru ini, satu jadual pelancaran produk terbocor di internet, menyatakan Xiaomi akan memperkenalkan 4 lagi telefon pintar pada tahun ini. Nombor 4 kelihatan menjadi kegemaran Xiaomi, apabila pelancaran terdekat selepas ini ialah Mi 4S. Ia dijangka dilancarkan pada Jun 2015 dengan spesifikasi seperti skrin 5-inci HD Penuh, CPU Qualcomm Snapdragon 810 dan kamera belakang 13MP beserta OIS. Ini kelihatan lebih hebat dari Mi 4 yang asal.

Kemudian, pada Julai 2015 akan dilancarkan dua produk pengganti Redmi Note, iaitu Redmi Note 2 yang turut diperkenalkan bersama Redmi Note 2 Pro. Ia mempunyai skrin 5.5-inci tetapi resolusi berbeza, dengan skrin Redmi Note 2 Pro beresolusi HD Penuh. CPU Redmi Note 2 Pro juga dijangka lebih baik.

Sebelum tahun 2015 berakhir, Xiaomi akan memperkenal Mi 5 pada bulan November, dengan spesifikasi terhebat seperti skrin 5.2-inci QHD, CPU Qualcomm Snapdragon 820 dan juga kamera belakang 20.2MP.

Perlu diambil perhatian, jadual ini mungkin adalah pelancaran untuk China sahaja, dan mengambil masa untuk tiba di negara lain. Mungkin juga ia tidak akan tiba ke negara lain. Tetapi ini pasti menjadikan peminat Xiaomi tidak sabar menanti ketibaan produk-produk Xiaomi yang terkenal lebih murah daripada biasa.

[SUMBER: 1, 2]

Apa komen anda?