Lenovo A7000 dilengkapi Dolby Atmos berlabuh di Malaysia

Share Button

Telefon pintar Lenovo terkenal di Malaysia, kerana harganya yang sangat murah dan banyak pilihan model. Hari ini, Lenovo melancarkan satu lagi telefon pintar mampu milik, tetapi mempunyai fungsi bertaraf dunia. Telefon pintar Lenovo A7000 diperkenalkan di Malaysia, dilengkapi sistem bunyi audio tercanggih, Dolby Atmos.

Pelancaran Lenovo A7000 ini disempurnakan oleh di panggung wayang GSC 1Utama. Tempat ini dipilih kerana panggung wayang tersebut turut dilengkapi sistem bunyi Dolby Atmos. Seperti yang pernah kami kongsi sebelum ini di sini, Dolby Atmos adalah sistem bunyi terbaru yang dihasilkan Dolby Laboratories. Ia menambah satu lagi kawasan bunyi iaitu di atas kepala, bagi menghasilkan bunyi lebih realistik. Ia juga boleh dipadankan dengan pembesar suara sehingga 64 unit, untuk penghasilan bunyi pada kedudukan yang tepat.

Lenovo A7000 depan Lenovo A7000 belakang

Bercakap tentang telefon pintar Lenovo A7000 ini pula, ia adalah telefon pintar mampu milik yang dikategorikan di dalam kelas pertengahan. Lenovo A7000 dikuasakan CPU keluaran Mediatek, iaitu MT6752m dengan 8-teras aktif sepanjang masa berkelajuan sehingga 1.5GHz, serta menyokong arahan 64-bit. Ia dipadankan dengan 2GB RAM serta 8GB storan dalaman, yang boleh ditambah dengan kad memori mikro-SD sehingga 32GB.

Spec lenovo A7000

Kamera belakang Lenovo A7000 menangkap gambar pada resolusi 8MP dengan lensa auto fokus dan dwi-LED flash. Manakala kamera hadapannya 5MP. Ia mempunyai kapasiti bateri 2900mAh yang boleh diubah apabila penutup belakangnya dibuka. Yelefon ini juga boleh bertindak sebagai powerbank, untuk mengecas peranti lain, selain sokongan OTG ke storan USB luaran.

Lenovo A7000 mempunyai dua slot kad sim bersaiz mikro, yang boleh digunakan aktif pada masa yang sama. Tetapi hanya satu slot menyokong rangkaian 4G-LTE, manakala slot kedua pula hanya sehingga 2G EDGE.

Lenovo A7000 dwi-sim mikro

Sistem Operasi Lenovo A7000 digerakkan oleh Android 5.0 Lollipop terkini, dengan antaramuka VIBE UI yang dihasilkan Lenovo sendiri. Sistem bunyi Dolby Atmos pada Lenovo A7000 tidak dapat diserlahkan sepenuhnya dengan pembesar suara yang terletak di belakang, tetapi pengguna pasti dapat merasai kehebatannya apabila menggunakan earfon atau headfon yang bagus.

Lenovo A7000 dijual di Malaysia pada harga RM699, yang boleh didapati di semua pengedar sah Lenovo. Ia mempunyai dua pilihan warna, iaitu hitam onyx dan putih mutiara.

Lenovo Malaysia turut mengumumkan penjualan eksklusif Lenovo A7000 di Lazada Malaysia, dengan harga istimewa RM625 sahaja. Lenovo A7000 akan dijual di Lazada Malaysia secara eksklusif selama 6 minggu. Penjualan ini akan bermula pada 20 Mei 2015, jam 12 tengahari. Lazada Malaysia menjanjikan penghantaran dalam masa 48 jam kepada pembeli. Pendaftaran minat dibuka bermula hari ini, 12 Mei 2015 di Lazada Malaysia. Anda boleh terus ke lamanweb Lenovo A7000 Lazada Malaysia di sini, untuk mula menempahnya hari ini.

 

Apa komen anda?